Rabu, 20 Mei 2020 | 8:05pm

Pasaran saham teruskan peningkatan, naik 11.15 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melepasi paras 1,435 hari ini untuk ditutup pada paras tertinggi harian.

Ia berikutan saham penjagaan kesihatan, terutamanya kaunter sarung tangan, kembali menjadi tumpuan pelabur selepas pakar kesihatan menyatakan keraguan terhadap perkembangan mengenai vaksin COVID-19.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 11.15 mata, atau 0.78 peratus, kepada 1,435.12 daripada 1,423.97 semasa ditutup pada Selasa.

Remisier Maybank Investment Bank Bhd Jeffry Azizi Jaafar berkata sebuah laporan yang mewujudkan keraguan mengenai kemungkinan vaksin COVID-19 Moderna yang berpangkalan di Amerika Syarikat telah meningkatkan permintaan saham penjagaan kesihatan, terutamanya kaunter sarung tangan getah.

"Ini memberi manfaat kepada Malaysia berikutan pengeluar sarung tangan getah kita merupakan pembekal yang terbesar, meraih lebih 60 peratus daripada bahagian pasaran global," katanya kepada Bernama.

Jumlah dagangan, bagaimanapun, berkurangan kepada 6.73 bilion saham bernilai RM3.63 bilion daripada 9.51 bilion unit bernilai RM4.64 bilion semalam.

Menurut Jeffry Azizi, penyertaan runcit dalam bursa tempatan melonjak kepada 40 peratus berbanding 15 peratus pada tahun lepas.

Indeks barometer dibuka tinggi 9.61 mata kepada 1,419.77 sebelum berada antara 1,420.18 dan 1,435.12 sepanjang hari.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 561 berbanding 356, manakala 409 kaunter tidak berubah, 565 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Daripada saham wajaran tinggi, pengeluar sarung tangan Hartalega naik 41 sen kepada RM9.42 dan penggiat industri lain, Top Glove menambah 32 sen kepada RM10.80.

Tenaga naik 28 sen kepada RM12.44, Sime Darby Plantation meningkat 10 sen kepada RM4.92, dan Sime Darby menambah lima sen kepada RM2.01.

Kaunter paling untung didominasi oleh saham penjagaan kesihatan yang diterajui oleh Comfort Gloves, naik 43 sen kepada RM2.48.

Selain Hartalega dan Top Glove, Pharmaniaga dan Supermax, masing-masing naik 34 sen kepada RM2.22 dan RM4.59.

Bagi saham aktif, Velesto meningkat setengah sen kepada 17 sen, Careplus menambah 18.5 sen kepada 95 sen dan Sapura Energy tidak berubah pada 10 sen, manakala Bumi Armada dan KNM, masing-masing merosot setengah sen kepada 24 sen dan 21.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 92.15 mata kepada 10,163.61, Indeks FBMT 100 meningkat 88.79 mata kepada 10,005.91, manakala Indeks FBM Emas Shariah melonjak 142.94 mata kepada 11,551.62.

FBM 70 meningkat 157.19 mata kepada 12,638.19 dan FBM ACE naik 97.63 mata kepada 5,461.03.

Mengikut sektor, Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 76.82 mata kepada 1,898.07 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 33.88 mata kepada 12,448.80.

Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 1.06 mata kepada 124.87 dan Indeks Perladangan menambah 95.85 mata kepada 6,629.85.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 4.69 bilion saham bernilai RM2.98 bilion daripada 7.04 bilion saham bernilai RM4.13 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 440.28 juta unit bernilai RM95.11 juta daripada 727.86 juta unit bernilai RM123.03 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.60 bilion saham bernilai RM553.24 juta daripada 1.74 bilion saham bernilai RM386.61 juta pada hari sebelumnya.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 379.31 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (564.81 juta), pembinaan (429.00 juta), teknologi (295.31 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.66 juta), hartanah (242.94 juta), perladangan (470.35 juta), REIT (10.41 juta), dana tertutup (46,500), tenaga (1.72 bilion), penjagaan kesihatan (79.63 juta), telekomunikasi dan media (295.80 juta), pengangkutan dan logistik (119.10 juta), dan utiliti (28.84 juta). - BERNAMA

Berita Harian X