X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 10:19pm

Harga minyak sawit dijangka kembali mengukuh

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) mampu mencecah jualan RM2,300 hingga RM2,400 bagi satu tan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata peningkatan harga itu pasti melegakan puluhan ribu pekebun kecil, malah menguntungkan pihak industri yang terkesan ekoran jumlah eksport yang menyusut awal tahun.

"Saya berharap harga sawit ini akan terus melambung tinggi supaya hasil lebih ini dapat dimanfaatkan terutama kepada pekebun-pekebun sawit, bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

"Perkembangan ini pastinya amat menggembirakan MPOB dan kerajaan, memandangkan komoditi sawit menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.76 peratus, berjumlah 64.84 billion," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kenaikan harga ini juga didorong hubungan diplomatik Malaysia-India yang semakin mengukuh di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan sejak Mac lalu.

"Terima kasih kepada kerajaan India yang tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis yang membantu meningkatkan eksport Malaysia ke negara berkenaan.

"Jika sebelum ini, harga minyak sawit terendah pernah dicatatkan adalah sebanyak RM1,794.50 satu tan pada Disember 2018 dan RM1,879.00 satu tan pada Julai 2019 bagi tempoh 2016-2019," katanya.

Menerusi perkembangan positif itu juga, Ahmad Jazlan berkata, ia pastinya menarik nafas lega kepada kumpulan pekebun kecil dan pihak industri komoditi ini.

"Kami berharap supaya harganya akan terus stabil dan meningkat kepada momentum yang lebih memberangsangkan.

"Kami di MPOB amat komited dalam membantu komoditi sawit terus meningkat dari masa ke masa," katanya.

Berita Harian X