Khamis, 20 Julai 2017 | 6:08pm

Alibaba Cloud buka hab digital di Malaysia

KUALA LUMPUR: Alibaba Cloud, unit perkomputeran awan Alibaba Group mengumumkan penubuhan sebuah hab digital baharu di Malaysia bersama Multimedia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ia hab digital pertama di bawah inisiatif Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) dan menunjukkan kemajuan dicapai untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seluruh dunia serta menyediakan akses seimbang ke pasaran global.

Hab digital baharu itu akan memainkan peranan penting untuk membangunkan syarikat permulaan (startup) Malaysia dan dari seluruh ASEAN, selain mempercepatkan transformasi digital di rantau ini.

Sebagai rakan teknologi hab, Alibaba Cloud akan melaksanakan beberapa siri program dan perkhidmatan, termasuk Sijil Profesional Awan Alibaba (ACP), perkhidmatan perundingan 'go-to-cloud' serta penyelesaian teknologi khusus yang direka bentuk oleh arkiteknya.

Ini membolehkan PKS mencapai skala dengan lebih pantas dan lancar menggunakan keupayaan awan Alibaba yang mantap, berskala serta efektif dari segi kos.

Ketua ASEAN dan ANZ Alibaba Cloud, Raymond Ma berkata perkomputeran awan menjadi pemacu ekonomi baharu berasaskan data, menerajui inovasi teknologi yang dapat memecahkan sempadan perniagaan tradisional dengan lebih jauh berbanding sebelumnya.


KETUA ASEAN dan ANZ Alibaba Cloud, Raymond Ma. - Foto Eizairi Samsudin

"Di Malaysia serta rantau ASEAN, kami komited membina ekosistem bersepadu yang menjadikan perkomputeran awan lebih mudah diakses syarikat permulaan dan PKS.

"Hab digital baharu ini, selain beberapa lagi inisiatif kami yang lain akan menyediakan rangkaian sokongan komprehensif serta sekumpulan perkhidmatan awan inovatif kepada syarikat permulaan dan PKS, sekali gus membantu mereka berjaya di dalam era digital," katanya berucap merasmikan hab digital Alibaba Cloud di sini, hari ini.

Selain inisiatif hab digital, Alibaba Cloud juga mengadakan program syarikat permulaan Create@Alibaba Cloud pusingan ASEAN ke Malaysia.

Sebanyak 15 syarikat permulaan dari seluruh ASEAN bersaing di peringkat akhir.

Syarikat CXS Analytics dari Malaysia dan Oceo Water dari Singapura dinobatkan sebagai pemenang pusingan ASEAN. Masing-masing membawa pulang hadiah AS$50,000 bagi tempat pertama dan AS$10,000 bagi tempat kedua.

Pertandingan itu adalah sebahagian inisiatif terbaru MDEC dan Alibaba Cloud yang menyokong program eWTP.

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng, berkata kerjasama Alibaba Cloud dan MDEC adalah bersandarkan matlamat sama iaitu komitmen terhadap pembangunan ekosistem keusahawanan teknologi.

Katanya, sinergi itu menghubungkan usahawan teknologi Malaysia kepada peluang lebih besar dan Create@Alibaba Cloud adalah salah satu contohnya.

"Menerusi pertandingan ini, usahawan Malaysia berpeluang membentangkan idea kepada pakar industri dan meraih pengalaman," katanya.

Mei lalu, Alibaba Cloud mengumumkan rancangan menubuhkan sebuah pusat data di Malaysia yang bakal menjadi platform awan umum global pertama di negara ini.

INFO

*Alibaba Cloud adalah penyedia perkhidmatan terbesar di China dari segi pendapatan

Berita Harian X