Jumaat, 21 September 2018 | 9:21pm

Jenama disediakan di platform Shopee bertambah

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang, Shopee, mencatatkan pertumbuhan 86.7 peratus dalam bilangan jenama yang tersedia di Shopee Mall, naik kepada 560 jenama daripada hanya 300 pada tahun lepas, kata Pengarah Urusan Serantaunya, Ian Ho.

Platform membeli belah dalam talian itu merekodkan pertumbuhan merentasi semua kategori runcit, disokong oleh jenama elektronik seperti Xiaomi dan Lenovo, jenama fesyen terkemuka seperti Poplook dan Voir termasuk jenama produk kecantikan seperti NYX dan Beiersdorf.

“Pengguna juga boleh membeli produk minyak pelincir enjin daripada kedai rasmi Shell, tiket perlawanan bola sepak tempatan dari laman rasmi Liga Bola Sepak Malaysia, bahkan membuat pembelian runcit melalui Shopee Mall dari pasar raya Giant dan Mydin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ho, sempena ulang tahun pertama Shopee Mall, Shopee akan menganjurkan Super Brand Festival mulai 24 hingga 27 September, menampilkan jenama seperti Fila, Watsons, Vinda, Kellogg's, Asus, Russell Taylors, Olay dan Optimum Nutrition.

“Peminat fesyen yang mencari tawaran terbaik digalakkan untuk menunggu Hari Gaya Hidup dan Fesyen pada 24 September, manakala mereka yang mahu memenuhkan stok barangan isi rumah dan runcit akan mendapat tawaran terbaik pada Hari Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) pada 25 September ini.

“Peminat barangan berteknologi yang mengidamkan peranti mudah alih, peralatan atau barang-barang elektronik boleh memeriksa tawaran menarik pada Hari Elektronik yang berlangsung pada 26 September depan,” katanya, sambil menambah semua 560 jenama akan terlibat dalam ulang tahun setahun Shopee Mall pada 27 September. - BERNAMA

Berita Harian X