Khamis, 13 Disember 2018 | 3:22pm
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lazada Group, Pierre Poignant

Pierre Poignant dilantik CEO Lazada Group

KUALA LUMPUR: Lazada Group, syarikat e-dagang utama di Asia Tenggara mengumumkan pelantikan Pierre Poignant sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada perancangan penggantian kumpulan.

Beliau akan menggantikan Lucy Peng yang kekal sebagai Pengerusi Eksekutif Lazada Group.

Lazada dalam kenyataan berkata, Poignant yang dilantik sebagai Presiden Eksekutif Kumpulan pada Ogos 2018 akan memimpin pembangunan strategik kumpulan menuju tonggak pertumbuhan baharu, di samping terus mengurus operasi Lazada di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Sejak Lazada dilancarkan pada 2012, Poignant mengatur pembangunan dan peluasan jejak logistik Lazada dan membangunkan keupayaan e-logistik syarikat.

“Selama bertahun-tahun, beliau menyandang jawatan lain bersama Lazada seperti Ketua Pegawai Operasi, yang menyelia khidmat pelanggan, rantaian bekalan dan pengeluaran kandungan,” katanya.

Sementara itu, Peng berkata, Poignant ialah pengasas bersama Lazada yang amat disegani, yang menyumbang tanpa mengenal jemu terhadap syarikat sejak enam tahun lalu.

“Beliau dan pasukan pengasas bersama yang lain mempunyai visi untuk membangunkan jaringan logistik kami dari bawah pada suatu ketika apabila tiada sesiapa di Asia Tenggara yang mempercayai e-dagang.

“Selama bertahun-tahun, Poignant tekad menyumbang lebih daripada apa yang diharapkan daripada beliau dan cemerlang dalam setiap jawatan yang pernah disandang,” katanya.

Dalam pada itu, Poignant berkata, Lazada memperoleh manfaat daripada ekosistem Alibaba, bermula dengan kehebatan teknologi kepada jaringan logistik.

“Tahun 2018 adalah detik perubahan untuk Lazada. Kami telah berkembang maju dan kini muncul dengan lebih mantap, lebih cekap dan lebih tangkas berbanding awal tahun ini.

“Transformasi kami baru saja bermula dan saya yakin tahun hadapan akan menjadi satu lagi tahun dengan detik perubahan,” katanya.

Berita Harian X