Selasa, 26 Februari 2019 | 3:16pm

Maxis, Huawei jalin usaha sama lonjak teknologi 5G

BARCELONA: Syarikat peneraju perkhidmatan penumpuan komunikasi dan digital, Maxis Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei dalam usaha melonjakkan teknologi 5G di Malaysia.

MoU yang membabitkan kedua-dua syarikat saling bekerjasama melaksanakan percubaan 5G dengan sistem dan perkhidmatan serba lengkap, dimeterai pada acara Kongres Mudah Alih Dunia 2019 yang sedang berlangsung di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut, berkata syarikat itu sudah lama memulakan perjalanan teknologi 5G itu menerusi percubaan secara langsung, pelaburan serta mempertingkat infrastruktur rangkaiannya agar dapat disesuaikan dengan penyelesaian pintar yang akan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.

“Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan rakan lama, Huawei bagi menjalankan sesi percubaan 5G serta sekali lagi muncul sebagai perintis membawa teknologi terkini ke Malaysia.

“Malah, di Maxis, kami telah berupaya mengekalkan kedudukan sebagai peneraju rangkaian dari segi kelajuan, kualiti dan prestasi di Malaysia dan teruja untuk menyediakan inovasi terbaik 5G baik kepada pengguna mahu pun perniagaan di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan, menyifatkan kerjasama itu sebagai bukti komitmen kedua-dua syarikat terhadap masa depan 5G di negara ini.

“Sebagai peneraju penyedia infrastruktur ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) dunia, Huawei juga komited untuk memperluas sempadan perniagaan serta meninjau saluran bagi pertumbuhan baharu berteraskan produk 5G kami yang mudah, serba lengkap dan menepati semua jenis keadaan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X