Khamis, 7 March 2019 | 3:26pm
Ketua Pegawai Teknologi Maxis, Morten Bangsgaard. - Arkib NSTP

Maxis mula ujian 5G pertama Malaysia di Cyberjaya

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd dengan kerjasama Huawei memulakan ujian langsung pertama 5G di Malaysia awal minggu ini di Cyberjaya.

Ujian berkenaan menyaksikan penyedia perkhidmatan digital dan komunikasi itu merekodkan kelajuan muat turun hampir tiga gigabait sesaat (Gbps).

Ketua Pegawai Teknologi Maxis, Morten Bangsgaard, berkata ujian berkenaan yang akan dijalankan selama enam bulan di Cyberjaya akan menyediakan analisis lebih terperinci mengenai ciri 5G, termasuk penggunaan spektrum dalam ‘band’ yang lebih tinggi, kewujudan bersama dengan perkhidmatan sedia ada, serta kelajuan internet mudah alih dan aplikasi realiti maya (VR) ultra tinggi.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah menilai teknologi ini dan melaksanakan ujian di makmal ujian. Kami sangat teruja dengan potensi 5G dalam menjadi penyelesaian pintar di masa depan bagi pengguna dan perniagaan dan gembira dengan kemajuan yang dicapai.

“Maxis adalah penyedia rangkaian yang pertama membawa masuk 4G dan kami teruja untuk melakukannya sekali lagi dengan 5G,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Maxis sudah menaik taraf rangkaian pengangkutannya untuk menyokong kelajuan gigabit dan pada masa sama membangunkan elemen rangkaian utamanya bagi fleksibiliti dan skala untuk permintaan kapasiti teknologi.

Maxis dan Huawei baru-baru ini melancarkan program percepatan 5G menerusi Memorandum Persefahaman di Barcelona, Sepanyol, yang mana kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam ujian 5G dengan sistem dan perkhidmatan akhir ke akhir.

Ujian berkenaan juga susulan pengumuman kerajaan bahawa Cyberjaya dan Putrajaya akan menjadi bandar pintar pertama di Malaysia bagi teknologi 5G.

Jika rangkaian 5G ini tersedia kelak, ia dijangka memberikan kelajuan sehingga 10 kali ganda lebih tinggi daripada 4G, yang terdapat di pasaran ketika ini.

Berita Harian X