Khamis, 11 April 2019 | 6:40pm

MPB terus kuasai media digital di Malaysia

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Media Prima Digital Sdn Bhd (Media Prima Digital), menerima anugerah utama ‘Digital Publisher of the Year’ (Penerbit Digital Terbaik Tahunan 2019) daripada Persatuan Digital Malaysia (MDA) malam tadi.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid, berkata beliau gembira kerana banyak kejayaan dicapai selepas MPB melakukan pelbagai transformasi termasuk menjadi pilihan nombor satu Malaysia bagi kandungan mudah alih, mengatasi gergasi teknologi lain khususnya yang dikenali sebagai ‘Big Four’.

“Hari ini, kami berbesar hati dengan pengiktirafan anugerah ini, dan kejayaan berkenaan membuktikan kami berada di landasan yang tepat untuk menjadi syarikat peneraju kandungan digital dan perdagangan pertama di Malaysia.

“Semua ini adalah berkat kerjasama pasukan yang hebat di mana hasil kerjanya turut menerima pengiktirafan anugerah lain. Oleh itu, kami akan terus berkerja keras untuk menampilkan kandungan terbaik kepada penonton kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan MPB turut dicalonkan dalam empat kategori lain iaitu ‘Best Use of Social Media’ (Kempen Watson oleh REV Asia), ‘Best Tech Developer’ (myUndi), ‘Best Use of Mobile’ (Pengembaraan Mak Cun), dan ‘Digital Person of the Year’.

Untuk rekod MPB adalah sebuah syarikat media bersepadu penuh yang tersenarai dalam pasaran utama di Bursa Malaysia dengan perniagaan menyeluruh berkaitan media termasuk televisyen, percetakan, radio, pengiklanan luar rumah, kandungan dan media digital.

Aset digital Media Prima termasuk laman web yang dimiliki tiga rangkaian akhbarnya iaitu New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro; empat stesen televisyen (TV3, NTV7, 8TV dan TV9); tiga stesen radio (Fly FM, Hot FM dan One FM) serta beberapa laman web gaya hidup termasuk tonton dan Gua.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Digital, Rafiq Razali, pula percaya dengan adanya idea baharu yang segar, ditambah dengan persekitaran kerja yang dinamik adalah antara ramuan penting kejayaan dan pencapaian digital Kumpulan.

“Di MPB, kami akui tenaga kerja adalah antara aset terpenting Kumpulan. Kami sentiasa terus memupuk bakat mereka di samping mengiktiraf usaha dan sumbangan mereka kepada syarikat.

“Dalam landskap media yang cukup kompetitif hari ini, kami percaya ini telah memberi kami kelebihan menjadi sebuah syarikat yang meneraju kandungan digital dan perdagangan di Malaysia.

“Malah, pelaburan berterusan kami dalam data adalah komitmen MPB untuk lebih memahami penonton agar kami berupaya menyediakan kandungan yang lebih relevan di seluruh platform media kami,” katanya.

Berita Harian X