Rabu, 7 Ogos 2019 | 6:10pm
Gambar fail, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali. - Foto Salhani Ibrahim

Media Prima Digital, Ziff Davis kendali operasi IGN

KUALA LUMPUR: Media Prima Digital menjalin kerjasama dengan syarikat media digital global, Ziff Davis, yang juga sebahagian daripada firma senaraian NASDAQ, J2 Global Inc, untuk mengendalikan IGN Asia Tenggara kepada penggemar hiburan dan permainan digital di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

IGN adalah jenama media terkenal di dunia dalam kalangan peminat permainan digital, filem dan hiburan.

Ia kini disediakan dalam 30 edisi antarabangsa, 26 bahasa dan meliputi 115 negara dengan capaian audien global sebanyak 196 juta pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital, Rafiq Razali, berkata pihaknya teruja untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Ziff Davis melalui kehadiran IGN Asia Tenggara.

“Kami percaya bahawa kerjasama ini dapat membantu mempercepat kewujudan dan pendapatan digital Kumpulan di peringkat tempatan dan serantau, terutama dalam industri permainan digital merentasi pasaran utama lain di Asia Tenggara.

“Sebagai kumpulan media digital, kami sedar bahawa permainan dan e-sukan adalah masa depan dan kami akan menyokong dan mengembangkan industri berkenaan di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden, Kerjasama Antarabangsa di Ziff Davis, Adam Doree berkata, pihaknya bersemangat untuk mengembangkan kerjasama dengan Media Prima Digital yang juga salah satu daripada syarikat media digital utama di Asia Tenggara.

“Rantau ini menjadi tumpuan global bagi syarikat-syarikat hiburan dan permainan digital yang mencari pertumbuhan baru dan kami percaya di bawah kepimpinan Media Prima, IGN Asia Tenggara berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan pelanggan sebagai destinasi utama peminat,” katanya.

Kerjasama baharu untuk IGN Asia Tenggara menyusuli perjanjian yang sama di antara anak syarikat Media Prima Bhd, REV Asia, dengan Ziff Davis pada 2018 untuk Mashable Southeast Asia serta kerjasama berasingan di rantau Asia seperti IGN Jepun dan IGN China, serta di seluruh dunia termasuk Amerika Latin, Eropah, Timur Tengah, Afrika dan India.

Kini, aset-aset digital utama Media Prima termasuk SAYS, OHBULAN!, Viralcham, BH Online, NST Online dan My Metro, yang menyumbang kepada trafik keseluruhan Kumpulan sebanyak 14.2 juta pelawat unik bulanan.

Media Prima juga baru-baru ini menjadi pilihan nombor satu dalam kandungan mudah alih.

Berita Harian X