Khamis, 8 Ogos 2019 | 4:58pm
Seorang wanita memegang model Samsung Galaxy Note 10 dengan warga yang berbeza semasa pelancaran Galaxy Note 10 di Pusat Barclays di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. - Foto REUTERS

Samsung perkenal telefon pintar harga-premium Galaxy Note 10

SAN FRANCISCO: Samsung pada Rabu memperkenalkan generasi baharu telefon bimbit skrin besar Galaxy Note pada harga bermula AS$950 (RM3,976) dan berkata, ia akan bekerja lebih rapat dengan Microsoft supaya perkhidmatan berfungsi lebih baik merentas pelbagai peranti.

Note 10 "phablet" yang dijadualkan dilancarkan pada 23 Ogos, hadir dalam dua saiz, dengan skrin lebih besar bermula pada harga AS$1,100 (RM4,604).

Harga itu meletakkan model itu pada tahap premium tertinggi pasaran telefon pintar global yang yang kini sejuk.

Generasi terbaru Note diperkenalkan pada satu acara media di New York oleh DJ Koh, ketua IT dan komunikasi mudah alih, yang menyebutnya sebagai "peranti mudah alih yang paling berkuasa di dunia."

"Setiap elemen Galaxy Note 10 direka untuk membantu pengguna mencapai lebih banyak," kata Koh.

"Sama ada mereka menyelesaikan projek besar untuk kerja, mengambil gambar dan menyunting video, atau bermain permainan mudah alih kegemaran mereka, Galaxy Note 10 akan membantu mereka melakukannya dengan lebih cepat dan lebih baik."  

Pengenalan Note pertama oleh Samsung kira-kira lapan tahun lalu mendapat pujian dengan mencetuskan trend peranti mudah alih skrin besar "phablet" yang menggabungkan keupayaan telefon pintar dengan saiz skrin komputer tablet.

Pengenalan Note 10 dan Note 10+ turut menyaksikan penampilan atas pentas oleh ketua eksekutif Microsoft, Satya Nadella, dan pengumuman oleh Samsung bahawa ia akan bekerja lebih rapat dengan pembuat sistem operasi Windows dari Amerika Syarikat (AS) itu dan perisian yang berkaitan.

Microsoft sudah lama bekerjasama dengan syarikat yang menggunakan komputer atau komputer riba yang dikuasakan Windows.

"Selama bertahun-tahun aplikasi dibina untuk peranti tunggal, tetapi dalam dunia 5G, awan dan AI (kecerdasan buatan), kita perlu memikirkan semula semuanya," kata Nadella.

"Cita-cita kami adalah untuk membantu orang ramai menjadi produktif mengunakan mana-mana peranti, di mana-mana sahaja. Kami sangat teruja dengan perkongsian ini."

Versi Note 10 akan bersesuaian dengan rangkaian telekomunikasi ultra-pantas 5G yang menjanjikan mampu memberi pengalaman baharu yang menakjubkan pada telefon pintar atau tablet.

Kedua-dua model Note datang dengan tanda ciri “S Pen" untuk menulis pada skrin dan kawalan isyarat. Model yang lebih kecil mempunyai skrin 6.3 inci, manakala ukuran yang lebih besar 6.8 inci.

Samsung juga memperkenalkan komputer riba Galaxy baharu, disifatkan sebagai super-slim dan ultra-ringan, dengan cip data mudah alih dari Qualcomm dan perisian Microsoft Windows terbina dalam.

Eksekutif Samsung memanggil komputer riba Galaxy Book S sebagai “intipati telefon pintar." Ia akan memasuki pasaran pada bulan September pada harga bermula AS$999 (RM4,181). - AFP

801 dibaca
Berita Harian X