Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:14pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (dua, kiri) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty (kiri) dan Ketua Pengarah MIROS (dua, kanan) yang dijelaskan oleh Lead Product Digi-X, Eric Gan mengenai peranti iFleet. - Foto Supianahmad

Ujian rintis 5G Digi dapat maklum balas positif

SUBANG: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mendapat maklum balas positif daripada Pameran Teknologi 5G yang dilaksanakan syarikat telekomunikasi itu beberapa bulan lalu dan ujian rintis teknologi berkenaan kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albern Murty, berkata Digi menerima banyak maklum balas yang menunjukkan minat terhadap teknologi 5G itu kerana ia bukan saja untuk pengguna, malah turut memberi manfaat kepada perniagaan.

“Berdasarkan kepada sambutan Pameran 5G Malaysia pada April lalu, orang ramai mula memahami mengenai teknologi ini dan bagaimana ia mampu beri manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Malah, kebanyakan mereka di luar sana juga melihat teknologi 5G bukan sekadar berfungsi di telefon mudah alih mereka, malah lebih daripada itu,” katanya kepada selepas majlis pelancaran Program Keselamatan Jalan Raya Digi 2019 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Selain pameran, syarikat itu turut menjalankan ujian rangkaian 5G, yang mana usaha itu adalah selari dengan perkembangan industri yang mula mengorak langkah ke arah pelaksanaan teknologi berkenaan.

Mengulas lanjut, Murty berkata, Digi menjalin kerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha untuk merealisasikan pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.

Katanya, syarikat sentiasa komited dalam membangunkan teknologi ini, malah ia seiring dengan sasaran kerajaan melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Pembangunan teknologi ini bukan hanya membabitkan satu pihak saja malah ia merangkumi keseluruhan peserta industri telekomunikasi di negara ini.

“Semua peserta industri memainkan peranan penting dengan menjalin usaha sama strategik bersama pihak kerajaan dan SKMM untuk memastikan ia mencapai kemajuan seperti yang disasarkan,” katanya.

Mengenai program yang dilancarkan hari ini, Murty berkata, ia akan dijalankan menggunakan data telematik bagi membantu pemandu kenderaan komersial lebih berhemah.

Beliau berkata, kenderaan telematik adalah teknologi berupaya menghantar, menerima dan menyimpan maklumat kenderaan serta pemandu yang menggunakan peranti disambungkan ke Internet.

Katanya, 1,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga bakal menerima dana sehingga RM10,000 dalam bentuk diskaun untuk melengkapkan kenderaan mereka dengan teknologi telematik.

90 dibaca
Berita Harian X