Sabtu, 10 Ogos 2019 | 6:35pm

Syarikat tempatan bakal perkenal Super Dron

SHAH ALAM: Sebuah syarikat tempatan, EastCap Berhad akan memperkenalkan Super Dron dengan Kepintaran Buatan (AI) sebagai revolusi pengangkutan udara pertama di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan EastCap Berhad, Datuk Seri Zakwanhafiz Ahmad Ansari berkata, Super Dron yang bakal diperkenalkan itu adalah hasil usaha sama dengan dua syarikat dari China iaitu EHang Intelligent Equipment (Guangzhou) dan Strong Rich Holdings Limited.

Katanya, usaha itu adalah satu kerjasama strategik antara syarikat tempatan dengan dua syarikat gergasi terbabit bagi memasar, menjalankan operasi dan perkhidmatan serta penyelenggaraan super dron itu di negara ini.

“Dengan menggunakan teknologi AI, kereta terbang yang bakal diperkenalkan tahun ini boleh digunakan untuk kegunaan pemantauan sempadan oleh pihak berkuasa, pelancongan, bantuan kecemasan, perubatan dan perladangan di Malaysia.

“Teknologi dron dengan AI ini juga sesuai digunakan pihak berkuasa dalam membuat pemantauan keselamatan di kawasan sempadan negara, contohnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Zakwanhafiz berkata, pengenalan super dron di negara ini bukan untuk kegunaan pengangkutan awam, sebaliknya ia dicadangkan kepada pihak berkepentingan khususnya kerajaan dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain pihak berkuasa, katanya, bagi pemangkin kepada pelancongan negara, ia juga boleh digunakan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk kegunaan di gugusan pulau pelancongan.

Katanya, super dron itu boleh membawa penumpang antara pulau-pulau pelancongan dengan kos serendah RM80 untuk satu perjalanan.

“Sekiranya kerajaan boleh memberikan insentif dan tawaran yang menarik, kami tidak menolak untuk membina kilang pemasangan super dron berkenaan di Malaysia dengan kadar pengeluaran 10,000 unit setahun.

“Super dron ini sudah terbukti mampu menjimatkan kos, mesra pengguna dan boleh menyelesaikan masalah mobiliti khususnya di kawasan bandar sekiranya berlaku kecemasan dan memudahkan pemantauan tanpa kesesakan.

Zakwanhafiz berkata, super dron itu berupaya melakukan penerbangan dengan ketinggian 300 meter dan kelajuan maksimum 130 kilometer (km) sejam dengan jarak bagi kapasiti bateri adalah sejauh 110 kilometer.

Katanya, berdasarkan kajian pihaknya, super dron ini berupaya membawa maksimum dua penumpang dengan maksimum kapasiti 600 kilogram dalam satu-satu masa.

“Menerusi kerjasama strategik ini, kita bukan sahaja akan memasarkan super dron berkenaan di Malaysia malah ke seluruh dunia,” katanya.

523 dibaca
Super Dron dengan Kepintaran Buatan diperkenalkan oleh syarikat tempatan, Eastcap Berhad hasil usaha sama dengan dua syarikat dari China. - NSTP/Ihsan EastCap Berhad
Berita Harian X