Ahad, 11 Ogos 2019 | 4:47pm
HUAWEI menampilkan televisyen pintar baharu, produk pertama menggunakan sistem operasinya sendiri. - Foto AFP

Huawei perkenal TV pintar guna sistem operasi sendiri

DONGGUAN, CHINA: Gergasi telekomunikasi China, Huawei, yang terperangkap dalam perang perdagangan Washington-Beijing menampilkan televisyen pintar baharu, produk pertama menggunakan sistem operasinya sendiri.

Televisyen itu akan mula dijual Khamis ini di China dan menandakan penggunaan pertama HarmonyOS, kata Ketua Eksekutifnya, George Zhao, sambil menambah ia akan dipasarkan oleh jenama pertengahannya, Honor.

Huawei menampilkan HarmonyOS yang amat ditunggu-tunggu Jumaat lalu, sebagai sistem operasi alternatif untuk telefon dan peralatan pintar lain jika sekatan AS menghalang firma itu daripada menggunakan teknologi Android.

Syarikat AS secara teorinya tidak lagi dibenarkan menjual produk teknologi kepada Huawei, namun tempoh pengecualian tiga bulan yang akan berakhir minggu depan, dibenarkan oleh Washington sebelum langkah itu mula berkuat kuasa.

Larangan itu juga boleh menyekat gergasi teknologi itu daripada memegang perisian dan peralatan penting, termasuk cip telefon pintar serta sebahagian elemen sistem operasi Android milik Google, yang berfungsi dalam kebanyakan telefon pintar dunia, termasuklah Huawei sendiri.

Huawei, yang dianggap pemimpin global peralatan generasi kelima pantas atau 5G dan pengeluar telefon pintar kedua terbesar dunia, disenarai hitam oleh Presiden AS, Donald Trump, di tengah-tengah kebimbangan ia menyediakan pintu belakang untuk perisikan China.

Bagaimanapun, firma itu menafikan dakwaan berkenaan.

-Bloomberg

837 dibaca
Berita Harian X