Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:09pm
Maxis Bhd membina rangkaian pintar baharu, Rangkaian A.I dalam memberikan sokongan kelajuan, daya tahan dan tuntutan latensi 5G

Maxis bina Rangkaian A.I sokong 5G

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd komited menyediakan kesalinghubungan masa depan dengan membina rangkaian pintar baharu, Rangkaian A.I dalam memberikan sokongan kelajuan, daya tahan dan tuntutan latensi 5G.

Ketua Pegawai Teknologi Maxis, Morten Bangsgaard, berkata Rangkaian A.I dibina di atas infrastruktur 5G dengan optik fiber kepada stesen pangkalan mudah alih di seluruh negara.

Beliau berkata, dibentuk dengan seni bina rangkaian Next-Gen IP serta perisian rangkaian teknologi terkini, Rangkaian A.I mengoptimumkan trafik data.

“Ini memastikan pengalaman Internet menjadi lebih lancar dan bebas serta sentiasa terhubung untuk aplikasi perniagaan yang kritikal.

“Maxis sekali lagi berada di hadapan untuk memastikan kesediaan kami. Rangkaian yang berdaya tahan, tangkas, serta sedia berskala adalah amat penting untuk penyelesaian perusahaan yang semakin berkembang, memenuhi keperluan kritikal pelanggan.

“Ini kerana 5G dan fiber dijangka menjadi tumpuan gaya hidup digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Bangsgaard berkata, Rangkaian A.I berfungsi dalam pengurusan trafik rangkaian pintar dengan rangkaian mudah alih dan fiber Maxis kini adalah rangkaian Next-Gen IP ‘superhighway’ yang bersepadu dan berkembang, disokong sistem kawalan trafik yang boleh menjangkakan peningkatan penggunaan.

Selain itu katanya, ia turut mengikuti kejayaan pelancaran perkhidmatan NB-IoT komersial yang pertama di Malaysia.

“Rangkaian ini akan memberi sokongan yang kukuh untuk teknologi Kawasan Luas Kuasa Rendah (LPWA) dan direka untuk penggunaan perindustrian berskala besar untuk pihak perusahaan dan kerajaan.

“Penyelesaian panggilan pertama yang lebih cepat untuk menampung permintaan dengan menyediakan analisis yang lebih tepat.

“Ia juga membantu terbukti dalam kesinambungan perniagaan dengan sistem pemberitahuan Rangkaian A.I. yang proaktif serta menangani keperluan perniagaan yang kritikal dan penyelenggaraan proaktif,” katanya.

Berita Harian X