Khamis, 15 Ogos 2019 | 7:38pm
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab. - Arkib NSTP

Cyberjaya tuan rumah Pusat Transparensi Kaspersky

CYBERJAYA: Cyberjaya dipilih untuk menjadi lokasi kepada Pusat Transparensi Kaspersky yang pertama di rantau Asia Pasifik dan ketiga di dunia.

Pembukaan pusat itu dibuat dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta pakar keselamatan siber kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab pada majlis pelancaran pusat itu berkata, perkongsian CyberSecurity dengan Kaspersky akan tertumpu kepada teknologi pengesanan ancaman dan menangani serangan perisian berbahaya.

"Pusat itu akan menangani peningkatan permintaan daripada rakan-rakan kongsi Kaspersky dan pihak yang berkepentingan daripada kerajaan untuk maklumat lanjut tentang bagaimana produk-produk dan teknologinya berfungsi," katanya.

Memandangkan landskap ancaman yang terus berkembang di Malaysia dan di rantau ini, CyberSecurity Malaysia percaya adalah penting bagi syarikat swasta seperti Kaspersky dan agensi kerajaan untuk membina kepercayaan dan saling bekerjasama.

Kaspersky dalam satu kenyataan yang diedarkan pada majlis pelancaran itu berkata, sama seperti kemudahan yang ada di Zurich dan Madrid, Pusat Transparensi Malaysia akan menjadi satu fasiliti yang boleh dipercayai untuk rakan kongsi syarikat dan pemegang berkepentingan kerajaan untuk datang dan membuat pemeriksaan kod sumber melalui penyelesaian Kaspersky.

"Pusat baharu itu juga akan berfungsi sebagai pusat taklimat di mana pelanggan akan dapat mengetahui lebih lanjut mengenai kejuruteraan dan amalan pemprosesan data Kaspersky," menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa pusat itu akan dibuka untuk pengunjung pertamanya pada awal tahun depan. - BERNAMA

123 dibaca
Berita Harian X