Selasa, 20 Ogos 2019 | 3:01pm
TIMBALAN Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin pada sidang media ‘Maxis IoT Challenge Pitch Day' di Menara NAZA KL. - Foto Rohanis Shukri

Jual produk pertanian dalam talian

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mencari peluang baru menerusi ekonomi digital untuk memasarkan hasil pertanian kepada pengguna.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin, berkata itu sebahagian usaha kerajaan untuk mengupayakan sektor pertanian menjadi lebih moden serta penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya, kementerian itu akan menarik sebanyak mungkin pelabur berpotensi termasuk dari luar negara untuk menimba kepakaran dan membuka ruang mereka memperkenal teknologi baharu dalam sektor pertanian.

“Kita mahu mencipta permintaan baru untuk pengeluaran hasil tani negara. Permintaan ini pastinya didorong oleh aduan pengguna yang selalu mengatakan harga makanan ketika ini sangat mahal, pada masa sama petani pula mengadu harga yang mereka pasarkan terlalu rendah.

“Jadi (untuk selesaikan situasi itu), kita mesti bawa teknologi. Kita cuba cipta platform digital ekonomi untuk menjual hasil tani menerusi dalam talian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri ‘Maxis IoT Challenge Pitch Day’ di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini MOA juga membentuk dua jawatankuasa, satunya ialah Jawatankuasa Agrotek yang berperanan membawa teknologi baru dalam sektor pertanian.

“Jawatankuasa ini akan mengumpulkan idea daripada pelbagai pihak sebelum diperkenalkan kepada petani.

“Kita juga sudah mewujudkan satu agensi baru di bawah MOA iaitu Bahagian Pelaburan. Bahagian ini berperanan sebagai pusat sehenti yang akan menarik serta menilai peluang pelaburan. Mereka (pelabur) boleh bentang kertas kerja, kita akan teliti dan memberikan khidmat nasihat bersesuaian,” katanya.

Menyentuh pengenalan program baru pertanian pintar yang diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini, Tze Tzin berkata, MOA sentiasa berkerjasama erat dengan kementerian itu dalam merealisasikan hasrat terbabit.

“Program ini di bawah EPU, MEA dan MOA sudah mewujudkan satu jawatan kuasa untuk mentransformasikan sektor pertanian terutama di tanah FELDA. Kita sudah mengadakan mesyuarat untuk melihat beberapa fokus untuk menjadikan FELDA tapak pertanian moden. MOA sendiri akan beri nasihat teknikal untuk bantu FELDA merancang pembangunan pertanian mereka.

“Sebab sekarang FELDA mengalami malah kejatuhan harga komoditi. Jadi, beliau (Azmin) sedang memperkenalkan mekanisme untuk teknologi baru pertanian,” katanya.

153 dibaca
Berita Harian X