Selasa, 24 September 2019 | 7:34pm
KETUA Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi, (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Amirudin Abdul Wahab (kanan) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman diantara Celcom dan Cybersecurity Malaysia di Kuala Lumpur. NSTP/Azhar Ramli.
KETUA Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Idham Nawawi, (kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Amirudin Abdul Wahab (kanan) bertukar dokumen Memorandum Persefahaman diantara Celcom dan Cybersecurity Malaysia di Kuala Lumpur. NSTP/Azhar Ramli.

Celcom, CyberSecurity jalin kerjasama kukuh keselamatan digital

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd (Celcom) dan CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) menjalin kerjasama strategik untuk meneroka dan mempertingkatkan keupayaan siber di negara ini.

Ketua Eksekutif Celcom, Idham Nawawi, berkata kerjasama dengan CyberSecurity adalah satu daripada inisiatif pihaknya untuk meneroka peluang dengan pelbagai rakan strategik dan penyedia platform dalam menyediakan penyelesaian keselamatan.

Katanya, bagi pembangunan ekosistem transaksi digital dan penggunaan data digital di Internet pada hari ini, Celcom terus meletakkan kepentingan dan mengaplikasi polisi keselamatan siber yang begitu ketat di semua peringkat operasi, serta terus bersiap siaga dalam perlindungan serta keselamatan data perusahaan dan pelanggannya.

“Kerjasama strategik di antara Celcom dengan CyberSecurity akan menjurus kepada pembangunan pelbagai program yang kukuh bagi keselamatan siber, meliputi keselamatan telekomunikasi, keselamatan Internet of Things (loT), dan informasi risikan ancaman.

“Ia akan disokong melalui pertukaran maklumat bagi risikan ancaman keselamatan bagi menambahbaik kesiapsiagaan dan pencegahan serangan siber; penambahbaikan dalam pembangunan sumber, keupayaan dan kapasiti dalam ujian keselamatan dengan penubuhan Makmal Ujian Keselamatan Celcom; meneroka peluang dan pembangunan bersama dalam keupayaan keselamatan telekomunikasi serta meneroka peluang dalam bidang keselamatan loT,” katanya di sini, hari ini.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kedua-dua pihak disempurnakan oleh Idham yang mewakili Celcom dan Ketua Eksekutif CyberSecurity, Datuk Amirudin Abdul Wahab.

Ia diadakan sempena acara Pameran dan Persidangan Anugerah Cyber Security Malaysia 2019 yang diadakan buat kali ke-11.

Mengulas lanjut, Idham berkata, Celcom amat teruja untuk menjadi syarikat telekomunikasi yang pertama dapat bekerjasama dengan kumpulan yang berkemahiran tinggi dan begitu profesional serfa berdedikasi, dengan objektif yang sama bagi mempertahan kepentingan negara dalam ruang siber.

“Kerjasama kami dengan CyberSecurity hari ini memperlihatkan dedikasi dan kewaspadaan kami sebagai syarikat telekomunikasi dalam membangunkan dan berinovasi dalam keselamatan siber dalam ekosistem digital,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X