Jumaat, 1 November 2019 | 5:37pm
PENGURUS Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han

Platform ShopBack dapat sambutan hangat

KUALA LUMPUR: ShopBack mencatatkan pertumbuhan lebih 100 peratus dalam nilai barangan kasar (GMV) sehingga akhir Oktober lalu, didorong oleh beberapa faktor seperti peningkatan jumlah pengguna platform berkenaan, jumlah transaksi yang dibuat dan jumlah belian.

Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia, Eddy Han, berkata sejak dilancarkan pada 2016, platform ganjaran sehenti itu telah memberi manfaat lebihan penjimatan kepada lebih 1.5 juta pembeli dalam talian.

“Selain itu, pengguna di negara ini juga mencatat lebih daripada RM7 juta pulangan tunai oleh ShopBack dalam tempoh dua bulan lalu dan kami menyasar untuk memberikan RM13 juta pulangan tunai dari November hingga Disember.

“Pulangan tunai itu datang daripada pembelian yang dibuat menerusi tawaran lebih 500 rakan niaga kami di negara ini termasuklah platform beli-belah dalam talian terkemuka seperti Lazada, Agoda, Shopee, KLOOK dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pengumuman kerjasama dengan TnG eWallet di Kuala Lumpur, semalam.

Selain Malaysia, ShopBack yang dibangunkan di Singapura kini turut mempunyai operasi di Indonesia, Filipina, Thailand, Taiwan dan juga Australia.

Ia dijangka melebarkan operasinya ke Vietnam pada hujung tahun ini.

Mengulas lanjut, Han berkata, pihaknya turut melihat potensi besar yang boleh diteroka ShopBack di negara ini.

“Potensi yang dimaksudkan itu merujuk kepada golongan yang mula membuat aktiviti belian dalam talian secara platform silang.

“Saya melihat aliran seperti semakin ramai pengguna melakukan pembelian dalam talian seperti menempah hotel, membuat pesanan makanan, membuat tinjauan mahupun membeli baju yang diinginkan.

“Memandangkan nilai wang semakin kecil, lebih ramai pengguna mahu berjimat dengan membeli dalam talian kerana harganya yang lebih murah dan mampu milik,” katanya.

Berita Harian X