Jumaat, 8 November 2019 | 8:18pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo. - NSTP/Aswadi Alias

Sony Interactive buka studio di Malaysia

KUALA LUMPUR: Sony Interactive Entertainment Worldwide Studios (SIE WWS), pemaju permainan video terkemuka akan menubuhkan studio terbaharunya di Malaysia, iaitu sebahagian daripada rangkaian studio globalnya.

Pembinaan studio berkenaan juga adalah sebagai permulaan Malaysia untuk mewujudkan hab bagi industri permainan di rantau ini, sekali gus bakal menarik peluang pelaburan yang besar ke negara ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata sepanjang setahun ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sudah mengadakan sesi perbincangan dengan SIE WWS bagi membangunkan industri permainan di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Hasil daripada perbincangan itu, kita telah berjaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk pemaju permainan digital di negara ini.

“Pada masa sama, SIE WWS mengambil keputusan untuk memperkukuhkan kerjasama berkenaan dengan menubuhkan satu studio baru di Malaysia.

“Penubuhan studio itu juga adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi industri permainan tempatan dan serantau,” katanya pada penutup 'Level Up KL Biz 2019', di sini, hari ini.

'Level Up KL Biz 2019' adalah platform serantau utama bagi pemaju permainan dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada setiap tahun.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Hairil Yahri Yaakob dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri.

Gobind berkata, kerjasama dan pembinaan studio berkenaan adalah satu kejayaan cukup besar bagi Malaysia dalam usaha untuk menetapkan hala tuju industri permainan di negara ini.

“Ia juga menunjukkan keyakinan SIE WWS  dalam infrastruktur dan bakat yang wujud di negara kita.

“Buat masa ini, saya belum dapat memaklumkan nilai pelaburan bagi pembinaan studio itu, tetapi ia akan dibuka dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau juga menambah, kerajaan juga sedang mempertimbangkan beberapa inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dari luar bagi memantapkan lagi industri permainan video di Malaysia.

Katanya, kerajaan juga prihatin dan komited terhadap pembangunan industri permainan bideo yang berpotensi menarik pelaburan baharu serta membantu perkembangan syarikat dan bakat tempatan.

“Berhubung perkara ini, satu dasar baru iaitu Dasar Ekosistem Kandungan Digital (DICE) akan dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Berita Harian X