Selasa, 28 Januari 2020 | 10:41am
Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC), Nisa Ismail. NSTP/Supian Ahmad.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC), Nisa Ismail. NSTP/Supian Ahmad.

AsSidq.com sasar platform utama kewangan Islam

PETALING JAYA: Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC), anak syarikat milik penuh Sedania Innovator Bhd, merancang untuk menjadikan platform AsSidq.com sebagai pasaran kewangan Islam utama di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Syarikat teknologi kewangan (fintech) Islam itu kini sedang giat memperluaskan lagi tawaran perkhidmatan di dalam platform AsSidq.com dengan rancangan menambah beberapa ciri baharu sepanjang tempoh dua tahun ini.

AsSidq.com adalah platform sehenti yang menawarkan produk kewangan Islamik dari institusi kewangan dan koperasi tempatan.

Ketika ini, platform berkenaan hanya menawarkan perkhidmatan permohonan pembiayaan peribadi untuk pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nisa Ismail, berkata SASC bakal menambah perkhidmatan permohonan kad kredit dan perkhidmatan tambah nilai As-Sidq Althiqa pada suku pertama tahun ini.

Katanya, As-Sidq Althiqa ialah inovasi terbaru syarikat yang juga adalah produk pertama seumpamanya di Malaysia dihasilkan bagi membantu meningkatkan kadar kelulusan permohonan pembiayaan peribadi pelanggan.

“Ibarat potongan gaji, menerusi Althiqa, bank boleh memastikan potongan bayaran ansuran terhadap akaun bank gaji pemohon dibuat sebaik bayaran gaji mereka dimasukkan ke dalam akaun terbabit. Ini untuk memastikan bayaran ansuran pembiayaan peribadi mereka pada setiap bulan terjamin.

“Dengan ini, ia membantu meningkatkan kadar kelulusan permohonan pembiayaan peribadi kerana risiko untuk pemohon gagal membuat pembayaran ansuran bulanan dihapuskan.

“Bagaimanapun, ciri Althiqa ini bukanlah wajib, sebaliknya ia adalah pilihan. Jadi, pemohon boleh memilih sama ada mahu menggunakan ciri ini atau tidak. Cuma, seperti yang saya katakan, kadar kelulusan adalah lebih tinggi jika pemohon memilih ciri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada BH, ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nisa berkata, SASC juga merancang untuk memperkenalkan tawaran perkhidmatan takaful motor dan deposit pada separuh kedua tahun ini.

“Menerusi pengenalan deposit, pelanggan boleh mendaftar pembukaan akaun bank di platform kami sebelum permohonan mereka dihantar kepada bank berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu, syarikat juga mempunyai perancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan gadai janji dan produk pelaburan pada tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Nisa berkata, SASC menyasar untuk menambah bilangan pelanggan mereka sebanyak 100 koperasi kredit dan tiga bank pada tahun ini.

“Ketika ini, kami mempunyai 65 pelanggan terdiri daripada 60 koperasi kredit dan lima bank sejak mula ditubuhkan pada 2008,” katanya.

Berita Harian X