Khamis, 30 Januari 2020 | 12:38pm

edotco perkenal 5G di Lapangan Terbang Langkawi

KUALA LUMPUR: edotco Group, syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi bersepadu serba lengkap yang berpejabat di Malaysia memperkenalkan rangkaian teknologi 5G persendirian pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA).

Menurut edotco, ia menjalankan pemasangan sepenuhnya rangkaian 5G berasaskan jalur spektrum 3.5 GHz bagi liputan dalam lapangan terbang itu yang juga hasil usaha samanya dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Peatalk Corporation.

“Malah, penyelesaian oleh Peatalk itu turut merangkumi teknologi transmisi gelombang milimeter yang beroperasi dalam jalur 70GHz yang melebihi 10 kilometer tanpa mengalami sebarang masalah integriti isyarat.

“Rangkaian itu adalah titik rujukan penetapan rangkaian takrifan perisian untuk membolehkan industri terus memanfaatkan pelaksanaan 5G pada masa depan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut edotco, rangkaian secara langsung itu juga membolehkan demonstrasi bagi empat kes kegunaan lapangan terbang pintar dalam masa nyata termasuk pengurusan aset menerusi peranti pintar yang dipasang pada troli lapangan terbang, pemantauan tahap kualiti udara, imbasan wajah serta peningkatan kelajuan WiFi awam di lapangan terbang berkenaan.

“Rangkaian itu juga berupaya meningkatkan kelajuan sehingga 1.5Gbps (megabit sesaat),” katanya.

Menurut syarikat itu, kejayaan pelaksanaan itu adalah menerusi penggunaan vendor teknologi alternatif yang membantu Malaysia melaksanakan 5G secara meluas sebagai penyelesaian ketersambungan perusahaan bagi industri utama.

“edotco percaya (peranan) rangkaian persendirian terutama pelaksanaan 5G bagi lokasi yang lazimnya untuk kegunaan industri, akan turut menjadi komponen utama dalam operasi teknologi 5G itu,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X