Khamis, 13 Februari 2020 | 11:34am

Pengguna WhatsApp cecah dua bilion

SAN FRANCISCO: Perkhidmatan pesanan WhatsApp yang dimiliki Facebook kini memiliki lebih daripada dua bilion pengguna di seluruh dunia dan mengukuhkan lagi komitmennya untuk memantapkan perlindungan privasi.

WhatsApp, yang dibeli oleh Facebook pada 2014, berkembang menjadi salah satu perkhidmatan paling banyak digunakan dalam ‘keluarga’ aplikasi Facebook, dengan menawarkan pesanan percuma bersama panggilan suara dan video.

“Perbualan peribadi yang satu ketika hanya boleh dibuat secara bersemuka kini boleh dilakukan dari jarak jauh melalui panggilan video dan suara,” kata satu hantaran blog WhatsApp.

“Terdapat banyak detik penting serta istimewa yang berlaku di WhatsApp dan kami berbangga dengan pencapaian ini.”

Kenyataan itu berkata, WhatsApp kekal komited terhadap ‘enkripsi yang mantap’ bagi membolehkan pengguna berhubung secara peribadi di tengah-tengah gesaan oleh penguat kuasa undang-undang di Amerika Syarikat (AS) serta tempat lain menyediakan lebih akses.

“Enkripsi mantap adalah penting dalam kehidupan moden. Kami tidak akan berkompromi terhadap keselamatan kerana itu menjadikan pengguna berasa kurang selamat,” kata WhatsApp.

“Untuk lebih banyak perlindungan, kami akan bekerjasama dengan pakar keselamatan utama, menggunakan teknologi termaju industri bagi menghentikan penyalahgunaan selain menyediakan kawalan dan kaedah untuk melaporkan isu, tanpa mengorbankan privasi.”

WhatsApp menggunakan ‘enkripsi hujung ke hujung’ yang dalam beberapa kes telah menghalang penguatkuasaan undang-undang mengakses data pengguna walaupun terdapat arahan mahkamah.

Rangkaian sosial itu sedang berusaha memperluaskan enkripsi itu ke seluruh aplikasi pesanannya, termasuk Facebook Messenger dan Instagram.

WhatsApp adalah salah satu ahli keluarga aplikasi Facebook yang termasuk rangkaian sosial teras, Instagram dan Messenger.

Facebook berkata, kira-kira 2.89 bilion orang di seluruh dunia adalah pengguna harian salah satu daripada perkhidmatan ini.

-AFP

Berita Harian X