X
Jumaat, 14 Februari 2020 | 5:20pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser.

Shopee platform e-dagang pertama sertai DuitNow

KUALA LUMPUR: Payments Network Malaysia (PayNet) dan Shopee bekerjasama menjadikan ShopeePay sebagai e-dompet pertama platform e-dagang yang menyertai ekosistem DuitNow.

Dengan kemasukan ShopeePay ke dalam ekosistem DuitNow, pelanggan Shopee boleh memindahkan wang dengan segera di antara e-dompet ShopeePay dan akaun daripada 40 bank serta lima e-dompet lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, Peter Schiesser, berkata pihaknya teruja dengan penyertaan Shopee sebagai pengguna awal DuitNow 2.0 yang akan membolehkan pelanggan platform e-dagang itu membeli-belah dan membayar dengan lancar.

“Gabungan debit segera dan mandat dalam fail akan menambah baik proses pembayaran dengan ketara, justeru pelanggan dapat melakukan transaksi dengan ringkas dan mudah,” katanya dalam stau kenyataan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata ShopeePay diperkenalkan untuk menyediakan kemudahan dan keselamatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia apabila membuat pembayaran.

“Kami gembira untuk berkembang atas visi itu dengan menjalinkan kerjasama dengan PayNet dan menyertai ekosistem DuitNow.

“Kini, pengguna ShopeePay boleh menguruskan wang dan membuat pembayaran dengan lebih lancar dan selamat di mana-mana saja, bahkan dapat meningkatkan pengalaman pembayaran,” katanya.

Dilancarkan pada Disember 2018, DuitNow pada mulanya membolehkan pelanggan bank dan e-dompet memindahkan wang dengan segera dan selamat pada bila-bila masa melalui saluran perbankan dalam talian dan aplikasi e-dompet.

Pemindahan wang DuitNow boleh diarahkan menggunakan nombor telefon mudah alih penerima, MyKad atau nombor pendaftaran perniagaan.

Fasa kedua DuitNow atau DuitNow 2.0 akan memperkenalkan penyelesaian pembayaran baharu dan kutipan yang inovatif seperti permintaan untuk bayar, debit segera dan mandate dalam fail.

Selain menjadi perintis untuk DuitNow 2.0, ShopeePay akan menerima pakai DuitNow QR, Standard QR Nasional Malaysia.

Ini akan membolehkan pengguna ShopeePay mengakses peruncit dan pekedai yang menerima pembayaran DuitNow QR.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X