X
Isnin, 17 Februari 2020 | 5:29pm
Pelancaran Program KipleUni oleh (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay Sdn. Bhd., Tan Kay Yen, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki di Le Merudien Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
Pelancaran Program KipleUni oleh (dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay Sdn. Bhd., Tan Kay Yen, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki di Le Merudien Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib

E-dompet KipleUNI diperluas ke universiti awam

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd dan KiplePay Sdn Bhd menyasar untuk meluaskan tawaran perkhidmatan e-dompet, KipleUNI kepada tiga lagi universiti awam pada separuh pertama tahun ini.

Ketika ini KipleUNI, perkhidmatan kerjasama di antara Bank Islam dan KiplePay, yang ditawarkan untuk memacu teknologi kewangan menerusi transaksi digital dan tanpa tunai, telah digunakan oleh 70 peratus pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata bank ketika ini sedang dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan perjanjian kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknologi Malaysia Melaka and Universiti Putra Malaysia bagi menawarkan perkhidmatan KipleUNI.

“Diharapkan, dalam separuh pertama tahun ini, kami mampu menyediakan penyelesaian yang sama digunakan pelajar UUM ke universiti lain,” katanya pada sidang media selepas pelancaran KipleUNI, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KiplePay, Tan Kay Yen.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Muazzam berkata, Bank Islam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan KiplePay pada Julai tahun lalu bagi menyediakan perkhidmatan dompet elektronik atau e-dompet yang berjaya direalisasikan pada hari ini.

Katanya, Bank Islam yakin dengan potensi penggunaan KipleUNI yang dijangkakan akan mencapai ke lebih 175,000 pengguna di universiti menjelang akhir tahun ini.

“Daripada itu, kami mengunjurkan yang lebih 50 peratus daripadanya akan menjadi pengguna aktif. Perkhidmatan ini bukan hanya terhad buat pelajar dan kakitangan universiti, tetapi saudagar Bank Islam juga akan meraih manfaat daripada kerjasama ini.

“Ini kerana, aplikasi KipleUNI mempromosikan pertumbuhan perniagaan di kedua-dua platform dalam dan luar taliannya,” katanya.

Sementara itu, Kay Yen berkata, lebih banyak ciri menarik bakal diperkenalkan kepada universiti menerusi penyelesaian pembayaran digital seragam antaranya e-kehadiran.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X