X
Rabu, 19 Februari 2020 | 2:53pm
KETUA Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Muazzam Mohamed, Pengarah Eksekutif DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, Sabri Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd, Khairul Kamarudin bertukar dokumen semasa menandatangani perjanjian kerjasama untuk perkhidmatan pos dalam talian di semua Mahkamah Di Malaysia. NSTP/Asyraf Hamzah
KETUA Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Muazzam Mohamed, Pengarah Eksekutif DAPAT Vista (M) Sdn Bhd, Sabri Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd, Khairul Kamarudin bertukar dokumen semasa menandatangani perjanjian kerjasama untuk perkhidmatan pos dalam talian di semua Mahkamah Di Malaysia. NSTP/Asyraf Hamzah

eJamin permudah pembayaran ikat jamin

KUALA LUMPUR: Pembayaran ikat jamin kini boleh dilakukan menerusi aplikasi eJamin, yang dibangunkan oleh Dapat Vista (M) Sdn Bhd (DAPAT).

Pengarah Eksekutif DAPAT, Sabri Rahman, berkata aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara, menyediakan kemudahan pembayaran yang pantas dan cekap.

Beliau berkata, DAPAT menyasarkan aplikasi itu digunakan di mahkamah seluruh negara menjelang akhir tahun ini sebelum diperluaskan ke mahkamah Syariah.

“Sejak mula berada di pasaran pada 13 Januari lalu, aplikasi eJamin sudah mencatatkan jumlah transaksi sebanyak RM1.2 juta. Ketika ini, pembayaran melalui sistem aplikasi ini mewakili 30 peratus daripada keseluruhan pembayaran ikat jamin dan kami menyasarkan meningkat kepada 70 peratus akhir tahun ini.

“Aplikasi ini membolehkan semua pihak bersedia ke arah masyarakat tanpa tunai dan ia juga membolehkan setiap transaksi mempunyai rekod. Justeru, ia membolehkan semua pihak dapat mengawal jika berlakunya transaksi wang haram dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bank Islam Malaysia Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Sabri memeterai MoU itu bagi pihak DAPAT, manakala Bank Islam serta Bank Muamalat diwakili Ketua Pegawai Eksekutif masing-masing, Mohd Muazzam Mohamed dan Khairul Kamarudin.

Mengulas lanjut, Sabri berkata, sistem aplikasi itu membolehkan penjamin membayar wang jaminan terus ke Bank Islam dan Bank Muamalat melalui akaun bank (pelbagai).

Beliau berkata, sistem pembayaran adalah melalui gerbang pembayaran FPX dan transaksi hanya mengambil masa dalam 30 minit berbanding pembayaran konvensional yang mengambil masa sehingga lima jam.

Sementara itu, Mohd Muazzam berkata, kerjasama itu memperluaskan lagi perkhidmatan Bank Islam kepada pengguna dan pihaknya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada langkah pendigitalan sistem penghakiman Malaysia.

“Inisiatif ini juga sebahagian daripada perjalanan digital kami dalam memberikan perkhidmatan tanpa tunai kepada pengguna,” katanya.

Khairul pula berkata, kerjasama untuk aplikasi itu membolehkan Bank Muamalat terbabit dalam peningkatan teknologi.

Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada misi bank untuk memberikan perkhidmatan baharu, pantas dan berteknologi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X