Rabu, 22 April 2020 | 12:18pm
Langganan Netflix meningkat semasa penularan COVID-19 - Foto AFP
Langganan Netflix meningkat semasa penularan COVID-19 - Foto AFP

Langganan bertambah, untung Netflix meningkat

SAN FRANCISCO: Netflix mencatatkan peningkatan keuntungan berikutan pertambahan langganan kepada hampir 16 juta ketika pandemik COVID-19 menyebabkan banyak negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan.

“Selepas mencatatkan penambahan pelanggan, Netflix akan terus menjadi syarikat media yang paling kurang menerima impak disebabkan COVID-19," kata penganalisis eMarketer, Eric Haggstrom.

“Perniagaan mereka sangat sesuai dengan populasi yang hanya duduk di rumah.”

Netflix merekodkan keuntungan AS$709 juta (RM3.1 bilion) menerusi pendapatan AS$5.8 bilion (RM25.5 bilion) dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, jumlah pelanggan berbayar meningkat sebanyak 15.7 juta daripada suku sebelumnya menjadi hampir 183 juta.

Perintah kawalan pergerakan dan pengurungan menyebabkan berbilion orang di dunia ketika ini hanya duduk di rumah, sekali gus memberikan saingan kepada gergasi hiburan di pasaran penstriman.

“Kami menyedari syarikat bernasib baik kerana mempunyai perkhidmatan yang lebih bermakna bagi orang yang berada di rumah.

“Syarikat juga dapat menjalankan perkhidmatan dari jauh dengan gangguan minimum dalam jangka pendek hingga sederhana,” kata Eksekutif Netflix dalam kenyataan kepada pelaburnya.

“Seperti perkhidmatan hiburan rumah yang lain, kami melihat tontonan sementara yang tinggi dan peningkatan keahlian.”

Netflix menjangkakan pertumbuhan tontonan dan keahlian akan menurun selepas COVID-19 berjaya dikawal dan orang dapat bergerak dengan lebih bebas.

Syarikat digital itu menjangkakan peningkatan bersih sebanyak 7.5 juta langganan berbayar pada suku semasa hingga Jun tetapi berkata:

“Memandangkan ketidakpastian mengenai waktu kawalan rumah ini, kebanyakan sasaran adalah dalam jangkaan.”

Syarikat yang berpangkalan di California itu berkata, kesan jangka panjang kehilangan pekerjaan akibat krisis COVID-19 terhadap pendapatan Netflix masih tidak jelas.

Amerika Syarikat (AS) kehilangan 22 juta pekerjaan sejak pertengahan Mac.

“Dalam sejarah lebih 20 tahun, kami tidak pernah melihat masa depan yang tidak menentu atau tidak jelas,” kata eksekutif Netflix.

Impak lain ialah penutupan produksi rancangan yang menangguhkan perbelanjaan.

“Kami telah menghentikan sebahagian besar produksi kami di seluruh dunia sebagai tindak balas terhadap langkah kerajaan di beberapa negara dan saranan daripada pegawai kesihatan awam tempatan,” katanya.

Pesaing perkhidmatan televisyen penstriman yang lain juga berada dalam situasi sama, tetapi Netflix mempunyai senarai simpanan rancangan yang banyak termasuk rancangan serta filem baharu, kata eksekutifnya.

-AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X