Khamis, 23 April 2020 | 3:24pm
Lazada Malaysia
Lazada Malaysia

Pakej Kedai Pintar Lazada bantu 50,000 PKS

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia menyasarkan untuk membantu kira-kira 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) menerusi pakej rangsangan sendiri dikenali Pakej Kedai Pintar yang dilancarkannya, baru-baru ini.

Menurutnya, dana tunai pakej itu yang disediakan bagi tempoh April hingga Jun 2020, membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta dan bermatlamat membantu PKS melakukan aktiviti jualan secara dalam talian, sekali gus turut menstabilkan kerja selain menyokong ekonomi negara ketika tempoh pandemik COVID-19.

Inisiatif bagi membantu PKS itu disasarkan menerusi beberapa siri manfaat khusus, terutama yang terbabit dalam kategori makanan dan segar serta keperluan makanan, peniaga baharu atau lama termasuk mereka yang berhasrat membuka gerai di Pasar Ramadan.

Malah, PKS yang layak akan menikmati perkhidmatan penghantaran percuma, akses kemudahan pinjaman mikro dan pembayaran mingguan secara tetap serta perkhidmatan pasukan sokongan khusus untuk melatih dan mengembangkan kempen penjualan yang disesuaikan untuk mereka melalui Lazada University.

"Kami mahu menjangkaui sesiapa yang berniaga. Tanpa sebarang pembayaran atau caj, mereka dapat meneruskan perniagaan sambil menikmati manfaat kepakaran e-dagang Lazada serta infrastruktur logistik yang mantap," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lazada Malaysia, Leo Chow kepada Bernama.

Beliau turut menyifatkan PKS sebagai penting kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan rakyat dan sebarang usaha membantu mereka dapat meningkatkan keyakinan rakyat di tengah-tengah situasi semasa membabitkan penularan virus itu.

"Kami percaya adalah menjadi tanggungjawab semua pengendali platform untuk menyalurkan bantuan pada masa-masa seperti sekarang kepada peniaga yang turut menyumbang kepada kejayaan kami," katanya.

Menerusi inisiatif itu, Chow berkata, peruncit PKS baharu atau mempunyai sedikit pengalaman dalam e-dagang boleh menjangkakan 100 peratus kos jualan secara dalam talian telah ditampung dan mempelbagaikan sumber pendapatan melangkaui model perniagaan tradisional menerusi satu platform yang digunakan setiap seorang daripada tiga rakyat negara ini.

Sementara itu, ketika mengulas inisiatif itu, CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mendorong sebahagian besar PKS dan perniagaan beralih untuk menerapkan dan menerima e-dagang itu.

"Saya yakin inisiatif ini akan melengkapi program MDEC dalam usaha melonjakkan penerapan e-dagang dalam kalangan PKS tempatan menerusi program eUsahawan dan 'Go-eCommerce' serta pada masa sama berperanan sebagai pemangkin bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan digital bernilai tinggi untuk negara," katanya.

Dalam pada itu, CEO SME Corporation Malaysia (SME Corp), Noor Azmi Mat Said berkata ketika PKS menangani ketidaktentuan itu, mereka berupaya melonjakkan perniagaan masing-masing dengan lebih pantas menerusi saluran digital.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X