Selasa, 29 Ogos 2017 | 10:01pm
AZIZAH Bahkendas, teliti menghasilkan kain Tekun DiRaja Pahang. - Foto Mohd Asraf Sawal

Orang Asli hasil kain Tenun Pahang Diraja

PEKAN: Jarak dan status bukan menjadi penghalang kepada dua wanita Orang Asli dari pedalaman daerah Lipis untuk datang ke daerah ini bagi mempelajari kemahiran menenun kain Tenun Pahang Diraja.

Dek kerana minat yang mendalam seni kraf ini, Azizah Bahkendas, 22, dan rakannya, Naera Bahdu, 23, dari Pos Betau, Kuala Lipis sanggup meredah lebih 250 kilometer bagi mendalaminya di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam, di sini.

Menurut Azizah, di awal pembelajaran pelbagai rintangan terpaksa ditempuhi memandangkan beliau langsung tiada pengalaman akan seni kraf berkenaan.

"Bukan mudah bagi saya belajar menenun kerana tidak pernah terfikir akan kerumitan yang akan dihadapinya sepanjang tempoh belajar seni tradisional itu.

"Pada mulanya saya tertekan, ada kalanya terlintas macam hendak berhenti sebab saya memang tidak pandai serta tidak tahu langsung berkaitan tenun... tetapi cikgu beritahu semua pelajar bermula dengan 'kosong', semua tidak tahu buat apa pun.

"Selepas setahun di sini, baru saya tahu bahawa tenunan sangat menarik, kita 'bermain' dengan warna, motif, corak, rekaan, konsep dan akhirnya dapat menenun dengan baik sekali," katanya kepada BH.


AZIZAH Bahkendas, menghasilkan kain Tekun Diraja Pahang pada Majlis perasmian Kraf KampungKu Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi. - Foto Mohd Asraf Sawal

AZIZAH Bahkendas, 22 menghasilkan kain Tekun DiRaja Pahang pada Majlis perasmian Kraf KampungKu Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi. - Foto Mohd Asraf Sawal

Katanya anak kelima daripada sembilan beradik itu, susah payahnya kini berbaloi apabila berjaya menamatkan pengajian Sijil Seni Kraf Tenunan (Tenun Pahang Diraja) secara sepenuh masa selama dua tahun di institut berkenaan.

"Saya kini sedang mengikuti latihan jangka pendek selama enam bulan di institut ini sebelum mula bekerja sebagai penenun," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Kraf KampungKu (KKK) Tenun Pahang Diraja di Kompleks Kampung Budaya Pulau Keladi di sini, baru-baru ini.

Majlis perasmian KKK Tenun Pahang Diraja itu sempurnakan oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Azizah berkata, beliau akan tetap meneruskan kerjaya dalam bidang tenun kerana mahu fabrik itu terus kekal sepanjang zaman.

"Tidak ramai golongan muda berminat untuk menjadi penenun dan saya mengambil peluang diberikan ini sebagai persiapan untuk menjadi penenun mahir.

"Susah macam mana pun, kalau melihat hasil sendiri pasti gembira walaupun jari jemari hampir terluka dan kebas kerana asyik menarik dan memintal benang ketika menenun," katanya.


NAERA Bahdu, 23 menghasilkan kain Tekun DiRaja Pahang pada Majlis perasmian Kraf KampungKu Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi. - Foto Mohd Asraf Sawal

Sementara itu, Naera mengakui kerja menenun sukar dilakukan jika tidak disertai minat, usaha dan kesabaran.

"Pada peringkat awal belajar terutama ketika mengenal jenis benang, memisahkan benang daripada gumpalan, memahami teknik colek dan sapuan, meloseng sehingga ke peringkat menenun mengambil masa lama dan membosankan sehingga satu peringkat saya tertekan dan enggan meneruskannya.

"Saya hampir berputus asa dan mahu berhenti kerana tidak dapat fokus tetapi atas berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan rakan-rakan lain yang sentiasa memberi motivasi akhirnya saya berjaya mengharunginya.

"Walaupun susah saya berusaha belajar kerana banyak peringkat perlu dilalui sebelum proses menenun bermula. Sehingga kini saya sudah menghasilkan lebih 10 kain tenun.

"Setiap kain saya boleh siapkan dalam tempoh seminggu tetapi jika ada corak mungkin mengambil masa lebih lagi sehingga ke tiga minggu untuk sehelai kain," kata anak kelapan dari sembilan beradik itu.


AZIZAH Bahkendas, menghasilkan kain Tekun Diraja Pahang pada Majlis perasmian Kraf KampungKu Tenun Pahang Diraja di Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) Tengku Ampuan Besar Meriam, Kompleks Budaya Pulau Keladi. - Foto Mohd Asraf Sawal

INFO:

  • IKTPD Tengku Ampuan Besar Meriam terletak di dalam Kompleks Budaya Kampung Pulau Keladi, Pekan, Pahang.

  • Pusat latihan pertama menawarkan pengkhususan Seni Kraf Tenun Pahang Diraja.

  • Dibina di kawasan seluas 1.6 hektar bermula pada 26 Februari 2008 dan siap pada 12 April 2010.

  • Diperkenalkan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 2006.

  • Dirasmikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 2013.

  • Kurikulum dan modul sijil yang dilaksanakan adalah selari dengan kurikulum dan modul sijil tenunan di Institut Kraf Negara.

  • Menawarkan program latihan peringkat sijil sepenuh masa selama dua tahun.
  • Berita Harian X