Khamis, 30 Mei 2019 | 8:45pm
Damian menunjukkan produk konfeksi durian dari jenama Forbidden iaitu D24 Cigar.

Forbidden, inovasi raja buah

KUALA LUMPUR: SUNNY Food Lab Sdn Bhd (Sunny Food Lab) memperkenalkan konfeksi durian pertama di Malaysia menerusi jenama Forbidden yang memperlihatkan raja buah itu ke tahap baharu selepas melalui inovasi dan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Damian Lee, berkata pengenalan produk itu adalah selari dengan hasrat syarikat untuk membawa durian ke peringkat lebih tinggi menggunakan bahan terbaik tanpa bahan tambahan.

“Jenama ini lahir dari rasa cinta terhadap durian terutama Musang King dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami, SunnyHills iaitu jenama nanas yang memiliki reputasi tinggi dari Taiwan serta terkenal dengan konsep dari ladang ke bakeri dan hanya menggunakan bahan semula jadi,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sunny Food Lab memperkenalkan dua produk di bawah jenama Forbidden iaitu D24 Cigar dan Musang King Roll untuk pasaran tempatan.

Buat masa ini, proses pengeluaran bagi produk jenama itu dihasilkan di Taiwan berikutan kedudukan negara itu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam industri pembuatan roti menggunakan bahan daripada sumber lestari.

Lee berkata, produk Forbidden akan dihasilkan di Malaysia sebaik saja syarikat membangunkan infrastruktur lengkap dan memiliki tenaga kerja mahir untuk mengendalikan serta menyelenggara peralatan digunakan dalam proses pengeluaran itu.

“Saya percaya Malaysia boleh membina jenama sendiri sebagai pengeksport utama durian dan pencapaian ini tentu dapat membantu meningkatkan tahap sosioekonomi petani kita dalam jangka panjang,” katanya.

Lee berkata, D24 Cigar dan Musang King Roll disukai pelanggan kerana kualiti durian yang digunakan dengan buah itu diambil terus dari ladang di Pahang dan kemampuan chef mereka untuk mengangkat keistimewaan durian ke tahap baharu.

Produk Forbidden sesuai untuk sebarang majlis dan boleh dijadikan hadiah perayaan yang unik dan istimewa untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Berita Harian X