Khamis, 30 Mei 2019 | 9:32pm
Absolut Brands Sdn Bhd diusahakan pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab. - Ihsan Kek Absolut Chocolat

Fenomena Kek Absolut Chocolat

KUALA LUMPUR: Tiga hari raih jualan enam angka. Itulah fenomena Kek Absolut Chocolat ketika menyertai festival Mood Republik baru-baru ini yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

Walaupun produk di bawah naungan Absolut Brands Sdn Bhd yang diusahakan pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab itu mula diperkenalkan sejak Februari tahun lalu, kek berkenaan terus mencipta sensasi dalam kalangan pelanggannya apabila lebih 13,000 kotak kek terjual selama tiga hari ia dianjurkan.

Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn Bhd, Ben Ali, berkata sebanyak 13,000 kotak habis dalam masa tiga hari memang sesuatu yang cukup mengejutkan dan pada masa sama ia menjadi pencapaian serta kebanggaan peribadi pasangan ini.

“Untuk acara tiga hari itu juga kita berjaya memecah rekod peribadi jenama ini dengan mencatat keuntungan jualan kasar melebihi enam angka.

“Malah, untuk menyuntik kelainan kita juga turut melancarkan minuman Teh Susu Boba di bawah cabang Absolut Brew pada festival berkenaan sebagai memberi variasi kepada produk yang kami keluarkan. Kami tidak boleh terus berada di zon selesa dengan produk yang sedia ada.


Ben Ali dan Nadiyah Shahab. - Ihsan Kek Absolut Chocolat

"Kami juga merancang memperkenalkan beberapa jenis produk makanan dan minuman pada masa depan bagi menambah variasi kepada produk sedia ada,” katanya ketika ditemui Bisnes BH baru-baru ini.

Ketika ini, Absolut Brands Sdn Bhd menawarkan tiga perisa kek, Chocolate, Boba Milk Tea dan Milk Lava.Ditanya mengenai pilihan produk yang terhad.

Ben berkata, pihaknya mahu mengekalkan eksklusif sesebuah produk yang dikeluarkan kepada penggemar keknya.

“Kita mahu jadi lebih eksklusif dalam memberikan pilihan kek kepada penggemarnya. Kek coklat mula dikeluarkan Februari tahun lalu. Kira-kira bulan September lalu, kita keluar pula kek Milk Lava. Kami percaya orang cepat bosan dengan jenis kek yang dijual. Jangka hayat satu kek itu boleh bertahan dalam tempoh enam bulan.

“Kita percaya variasi ini perlu dalam memberi pilihan kepada peminat kek. Sebab itu juga kita keluarkan produk minuman pula.

“Alhamdulillah permintaan kek ini sejak dari dulu hingga ke musim raya ini terus meningkat. Tapi itu bukan jaminan untuk kita terus selesa dengan apa yang ada. Selama setahun lebih kek ini berada di pasaran, perkembangannya cukup meluas hingga pada satu tahap tidak mampu menampung permintaan masyarakat,” katanya.

Bermula dengan operasi kecil-kecilan di gerai jualan, pasangan ini mampu tersenyum puas apabila kini mampu menyewa premis kedai dua tingkat di Cheras, Kuala Lumpur bagi menampung permintaan yang tinggi.


Ben Ali dan Nadiyah Shahab. - Ihsan Kek Absolut Chocolat

“Bisnes ini semuanya bermula ketika kami nak cari duit lebih untuk berkahwin (November tahun lalu). Daripada suka-suka nak cari duit tambahan, siapa sangka minat kami terus bercambah untuk lebih serius dalam dunia perniagaan. Saya sendiri tak yakin dengan perniagaan kek ini tetapi diyakinkan isteri.

“Pernah pada awal fasa berniaga, saya dan isterilah yang tolong lakukan proses pembungkusan. Malah kami jugalah yang melakukan penghantaran kek terus kepada pelanggan. Daripada hari pertama dapat tempahan awal hanya empat biji kek, ia bertambah hari demi haridan ketika ini hampir 200 biji sehari terjual," katanya.

Ketika ini Absolut Chocolat terus rancak dipasarkan dengan pelbagai medium, termasuk menggunakan ejen di seluruh negara.

“Selepas menggunakan khidmat satu ejen untuk setiap negeri, kami mencuri peluang memasarkan kek menerusi stesen pam minyak utama negara. Bermula dengan dua stesen, kini sudah ada 100 stesen yang menjual kek ini di sekitar Lembah Klang.

“Kami juga merancang mewujudkan hab operasi di Johor, Kedah dan Terengganu bagi memantau stesen pam minyak di negeri berkenaan. Untuk tahun depan juga kami merancang untuk membuka kios di pusat beli belah utama termasuk KLCC dan Pavilion. Kami mahu buktikan usahawan Melayu Bumiputera berjaya mengusahakan perniagaan sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak," katanya.

Ketika ini, syarikat sedang meninjau peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa dengan menyertai ekspo antarabangsa seperti di Dubai dan United Kingdom. Kami tidak mahu perjuangan ini terbatas di dalam negara saja... tetapi di pentas dunia,” katanya.

Sekalipun sentiasa terbuka dengan persaingan pihak lain, Ben dan Nadiyah tetap optimis jualan syarikat akan meningkat dua kali ganda pada tahun ini berbanding RM1.5 juta pada tahun sebelumnya. Kini di bawah Absolut Brands Sdn Bhd selain mempunyai Absolut Chocolat, pihak mereka menjalankan cabang perniagaan Absolut Brew, Absolut Event dan Absolut Management.

560 dibaca
Berita Harian X