Isnin, 24 Jun 2019 | 9:33pm
Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn Bhd, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor.

Gading Kencana terima anugerah antarabangsa

KUALA LUMPUR: Gading Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana), penyedia perkhidmatan tenaga boleh diperbaharui mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diumumkan pemenang Anugerah Asian Photovoltaic Industry Association (APVIA) yang diadakan di Shanghai, China awal Jun lalu.

Pada majlis anugerah yang diadakan sejak 2013 itu, Gading Kencana memenangi anugerah bagi kategori aplikasi fotovoltaic (perusahaan).

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor, hadir bagi menerima anugerah berkenaan.

Gading Kencana adalah syarikat tunggal daripada Malaysia yang menerima anugerah bagi kategori berkenaan pada tahun ini dan sejak anugerah itu diperkenalkan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, anugerah terbabit bertujuan mengiktiraf pelabur, pemaju, pengendali, syarikat kejuruteraan, institusi rekaan, kolej jurubina dan universiti yang terbabit dalam bidang perusahaan fotovoltaic, yang berjaya mencapai kejayaan sehingga mampu dijadikan model perniagaan.

Antara projek yang diusahakan ialah lampu jalan bertenaga solar yang dipasang di kawasan terpencil dan berbahaya bagi mengelakkan kemalangan jalan raya, projek bekalan elektrik dengan menggunakan solar PV genset hybrid system bagi sekolah di pedalaman, penggunaan maksimum tanah bagi ladang solar dan beberapa projek lain.

Mengulas lanjut, Guntor Tobeng berkata, anugerah berkenaan adalah satu pengiktirafan bagi warga kerja Gading Kencana, sekali gus memberi suntikan semangat kepada kumpulan untuk berusaha lebih keras, efisien bagi menjadi pemain utama dalam industri tenaga diperbaharui di peringkat global.

“Dengan sasaran untuk meluaskan projek peringkat tempatan dan antarabangsa, anugerah berkenaan memberi peluang kepada syarikat berada setanding dengan syarikat besar dari negara lain,” katanya.

Mengulas lanjut, syarikat bakal memulakan kerja-kerja pembinaan bagi projek ladang tenaga solar di Perak dan Langkawi dalam masa terdekat.

161 dibaca
Berita Harian X