Selasa, 25 Jun 2019 | 10:18pm
Norain mengusahakan produk berasaskan cengkih, Super Scrub Beauty.

Produk kecantikan Super Scrub optimis mampu tembusi pasaran Laos

KUALA LUMPUR: Ain Alieya Resources, pengeluar produk kecantikan berasaskan cengkih, Super Scrub Beauty (SSB), optimis mampu menembusi pasaran Laos selewat-lewatnya tahun ini dalam usaha mengukuhkan jenamanya di peringkat global.

Pengasasnya, Norain Ngah, berkata, SSB yang diinovasikan daripada cengkih menjadi lulur itu, mendapat permintaan tinggi di negara berkenaan selepas kejayaan menembusi tiga negara jiran iaitu Brunei, Indonesia dan Singapura.

"Kami melihat potensi pasaran perniagaan dalam segmen ini mempunyai peluang yang luas untuk diterokai. Malahan, kurangnya pesaing dalam segmen kecantikan produk lulur ini menambahkan lagi keyakinan kami untuk meletakkan SSB di sana.

"Kini kami dalam proses dokumentasi dan menjangkakan SSB akan mula berada di pasaran Laos pada pertengahan 2019," katanya kepada BH Bisnes, baru-baru ini.

Norain berkata, ketika ini jualan dari tiga negara ini menyumbang sebanyak 30 peratus kepada hasil syarikat sementara baki 70 peratus disumbangkan oleh pasaran tempatan.

Ditanya mengenai perancangan syarikat sepanjang tahun ini, Norain berkata, syarikat mengunjurkan jualan SSB akan meningkat sebanyak 20,000 sebulan berbanding 15,000 pada 2018.

"Kita yakin mampu capai sasaran itu dengan adanya beberapa mesin baharu untuk meningkatkan kuantiti pengeluaran dan strategi syarikat yang akan memberikan latihan pemasaran yang konsisten kepada ejen dan stokis sedia ada dan baharu.

"Setakat ini, kami kami mempunyai 1,100 ejen dan stokis yang aktif dan menjangkakan jumlah ejen akan bertambah kepada 1,500 orang dengan adanya latihan pemasaran dan jualan yang kita sediakan.

"Ejen memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju syarikat di samping terus menyalurkan maklumat tepat mengenai produk SSB kepada pembeli," katanya

Norain berkata, sehingga kini, pembungkusan SSB masih sama walaupun berada di pasaran luar negara kerana tidak mahu mengelirukan pengguna sedia ada dan syarikat lebih memfokuskan kepada kualiti produk berkenaan.

SSB adalah lulur daripada cengkih dengan gabungan bahan semula jadi lain seperti minyak akar kayu, minyak rempah ratus, manjakani dan akar serapat mula dipasar secara meluas pada Ogos 2016.

Mengulas mengenai perancangan masa depan syarikat, Norain berkata, pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan produk lulur baharu namun semuanya akan muncul di pasaran pada awal tahun depan.

Ketika ini, SSB dijual pada harga promosi RM46 berbanding harga asal RM79.

291 dibaca
Berita Harian X