Rabu, 3 Julai 2019 | 9:46pm
Pelakon, Kilafairy dan ibunya, Rohana Jalil pada majlis pelancaran produk kecantikan Kilafit di Cheras. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kilafairy lancar KilaFit untuk wanita aktif

KUALA LUMPUR: Aklasse Essentials Sdn Bhd, menyasarkan jualan produk makanan tambahannya, KilaFit mencecah sehingga 120,000 unit setahun.

Pengasasnya, Syakila Nisa Jahangir Khan atau lebih mesra dengan panggilan Kilafairy, berkata beliau optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak ia diperkenalkan pada September lalu.

Produk kesihatan dan pelangsing badan itu diformulasikan dengan bahan semula jadi oleh doktor bertauliah dengan cetusan idea Kilafairy sendiri.

“Ramai yang bertanya kepada saya mengapa tidak industri kosmetik? Mengapa memilih produk makanan tambahan sebagai langkah pertama ke dalam dunia perniagaan? Bagi saya, obsesi terhadap dunia kesihatan dan pelangsingan menyebabkan saya memilih untuk memperkenalkan produk KilaFit supaya wanita di luar sana juga dapat menikmati keleistimewaan produk ini.

“Sejak diperkenalkan pada September lalu, KilaFit sudahpun dijual ribuan unit dan kita mahu kembangkan jualan ke seluruh negara dengan merekrut lebih ramai stokis dan ejen sah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kilafairy berkata, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama enam bulan juga bagi memastikan semua sudut produk KilaFit memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.

“Fungsi produk ini bukan semata-mata untuk menurunkan berat badan tetapi ia bagus untuk kulit dan rambut.

“Ekstrak L-Karnitina dan Garcinia mampu membakar sel lemak untuk mendapatkan tenaga, mengurangkan paras gula dalam darah, menurunkan kadar kolesterol selain memendekkan masa pemulihan daripada sakit badan dan bisa selepas senaman,” katanya.

Menerusi KilaFit, Kilafairy juga mahu menggalakkan orang ramai menjana pendapatan sampingan menerusi program super ejen dan stokis yang mampu menjana pendapatan lebih lima angka sebulan.

“Kita sudah lancarkan program ejen tanpa modal bagi membantu orang ramai yang tidak mempunyai modal untuk mulakan perniagaan dan menjadi sebahagian daripada keluarga KilaFit.

“Dengan pengenalan program ejen tanpa modal itu, KilaFit menyasarkan 20 stokis dan 180 super ejen di seluruh Malaysia menjelang tahun ini di samping memberikan pengisian latihan jualan dan pemasaran kepada mereka yang komited,” katanya.

Berita Harian X