Rabu, 3 Julai 2019 | 9:50pm
Pengurus Besar, My Flexitank Industries Sdn Bhd, Khairul Nizam Mustafa (kiri) dan Muhammad A’fif Osman menunjukan minyak pelincir kenderaan yang terbaru Pertamina Lubricants. - Foto Rohanis Shukri

My FlexiTank sasar jual 200,000 liter minyak pelincir Pertamina

PETALING JAYA: Yasmin Holdings Sdn Bhd, menerusi anak syarikatnya, My FlexiTank Industries Sdn Bhd, pengedar tunggal minyak pelincir Pertamina sejak 2014 menyasarkan jualan bagi segmen minyak pelincirnya meningkat antara 150,000 liter dan 200,000 liter pada 2019 berbanding 100,000 liter sebelum ini.

Pengurus Besarnya, Khairul Nizam Mustafa, berkata daripada jumlah itu, segmen motosikal dan kenderaan penumpang dijangka menyumbang kepada sebahagian perolehan syarikat manakala sebahagian lagi disumbangkan oleh industri berat.

Beliau berkata, ketika ini syarikat menumpukan jualan segmen motosikal terlebih dahulu memandangkan penggunaannya lebih meluas dan mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Selepas pengguannya meluas dalam kalangan pengguna motosikal, ia sekali gus akan berkembang kepada kenderaan penumpang dan kemudian ke industri atau jentera berat.

“Kita harap jualan minyak pelincir akan meningkat secara berperingkat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui BH Bisnes, baru-baru ini.

Pertamina adalah syarikat minyak nasional Indonesia dan berada di kedudukan 122 dalam senarai Fortune Global 500 dengan nilai pendapatan lebih AS$70.9 bilion.

Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata, kualiti minyak pelincir Pertamina juga tidak dapat dipertikaikan lagi apabila ia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai minyak pelincir dunia meninggalkan syarikat minyak nasional, Petronas pada kedudukan ke-15.

“Jadi kita yakin, ia mampu diterima di seluruh dunia dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga membuktikan ia minyak pelincir yang bagus.

“Cuma, ketika ini kita giat dengan aktiviti mempromosi untuk ubah persepsi orang kita bahawa barangan Indonesia tidak bagus.

“Padahal banyak produk antarabangsa berkualiti tinggi dibuat di sana seperti tayar jenama Bridgestone,” katanya.

Beliau berkata, harga jualan yang lebih murah berbanding produk yang ada di pasaran tempatan juga memberi kelebihan kepada Pertamina untuk mengembangkan penguasaan pasaran dalam segmen minyak pelincir.

“Kita sasarkan untuk menguasai kira-kira lima peratus penguasan pasaran dalam segmen minyak pelincir dengan fokus utama kepada kenderaan penumpang dan industri jentera berat,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Khairul Nizam berkata, syarikat membuka peluang kepada orang awam atau pemilik bengkel untuk menyertai rangkaian perniagaannya sebagai ejen dengan modal serendah RM3,000.

“Kita sasarkan untuk merekrut sekurang-kurangnya tiga atau empat orang ejen di setiap negeri pada akhir tahun ini dalam usaha meluaskan penjualan produk Pertamina di negara ini,” katanya.

Ketika ini, produk Pertamina boleh didapati di lebih 100 bengkel dan pengedar sah seluruh negara dengan harga bermula dari RM16 hingga RM226.

189 dibaca
Berita Harian X