Rabu, 7 Ogos 2019 | 9:40pm
Muhamad Al-Fizan (dua dari kiri) pada majlis makan malam di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto ihsan De Asia

De Asia optimis jualan meningkat 70,000 unit sebulan

SHAH ALAM: De Asia Dreams Care Solutions (De Asia) mengunjurkan jualan untuk produk minuman keluarannya, De Asia White Coffee mencecah sehingga 70,000 unit sebulan menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhamad Al-Fizan Mat Rodi, berkata ketika ini produk berkenaan mencatatkan jualan kukuh dengan 10,000 kotak sebulan menerusi rangkaian 14,000 pengedar di seluruh negara.

“Kebanyakan mereka berniaga secara separuh masa dan sepenuh masa dan meraih pendapatan antara lima dan enam angka menerusi penjualan minuman berkenaan.

“Namun, kita yakin jualan akan terus meningkat sejajar dengan penambahan pengedar di seluruh negara selain produk baharu iaitu minuman kesihatan wanita yang kami akan lancarkan pada akhir tahun ini,” katanya kepada media di majlis makan malam dan pengiktirafan 40 usahawan De Asia di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Muhamad Al-Fizan berkata, De Asia akan menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) dengan membuka kafe pertamanya di Shah Alam, Selangor pada awal tahun depan membabitkan pelaburan sehingga RM30,000.

Berkonsepkan kafe hipster, Muhamad Al-Fizan berkata, premis yang dikenali sebagai Kafe De Asia itu dijangka memberi kelainan dan pengalaman baharu kepada pelanggan.

“Selain menyajikan minuman popular kami, De Asia White Coffee, kami juga akan menawarkan menu makanan sihat berasaskan Melayu dan barat.

“Selain makan dan minum, kami juga mahu Kafe De Asia menjadi tempat bersantai setanding restoran kopi urban yang ada di pasaran tempatan,” katanya.

168 dibaca
Berita Harian X