Rabu, 14 Ogos 2019 | 9:53pm
Pengasas Health & Wealth Pro Right, Luqmanul Hakim Hamidi.

Empayar Pro Right bantu jana pendapatan

BERPEGANG kepada prinsip berkongsi rezeki, anak muda dari Kuala Kangsar, Perak ini berjaya membangunkan empayar perniagaannya setanding pengeluar produk berjenama popular di pasaran.

Mana tidaknya, daripada hanya mencuba-cuba menghasilkan formulasi sabun untuk merawat masalah eczema anaknya dan berkongsi pengalaman bersama rakan terdekat, menjadikan produknya meniti di bibir rakan yang lain.

Pengasas Health & Wealth Pro Right, Luqmanul Hakim Hamidi, berkata selepas melihat potensi produk yang dihasilkan mampu pergi jauh dalam pasaran, beliau bersama isteri, Nur Sabiha Sudin nekad menubuhkan perniagaan pada 2017 dengan hanya bermodalkan duit simpanan.

Luqmanul Hakim, 28, berkata, produk sulung itu berjaya mencatat jualan menggalakkan sehingga dia berjaya membangunkan lebih banyak produk di bawah jenama berkenaan.

Produk popularnya, Yarra Set 4in1 juga mencetuskan fenomena apabila produk berkenaan mencatat jualan sehingga 2,000 set sehari.

“Ini satu pencapaian yang luar biasa kerana pada masa itu kami tiada pesaing.

“Bermulalah dari situ, jenama Yarra terus mendapat tempat dalam kalangan pelanggan sehingga kini,” katanya yang mesra dengan panggilan Hakim ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, menerusi pendekatan setiap individu di dalam syarikat Health & Wealth Pro Right adalah duta produk keluarannya, setiap warga kerja meraih pendapatan lebih RM3,000 sebulan apabila masing-masing giat mempromosikan produk syarikat menerusi platform atas talian.

Katanya, Health & Wealth Pro Right yang beribu pejabat di Alor Setar, Kedah dilihat mampu mengubah taraf hidup warga kerjanya yang kebanyakan tinggal di kampung.

Selain menggunakan strategi jualan atas talian, Health & Wealth Pro Right juga giat mempromosikan produknya menerusi rangkaian pengedar yang aktif.

Sehingga kini, syarikatnya memiliki 900 pengedar dan 10 stokis yang aktif di seluruh negara.

Syarikatnya juga berjaya mengubah taraf hidup pengedarnya untuk menambah duit poket bulanan sehingga ada yang berjaya mencatat pendapatan mencecah RM10,000 sebulan.

Namun, di sebalik kejayaan yang diraih ketika ini, beliau mengakui pernah mengalami kerugian hampir RM100,000 akibat ditipu.

Ibarat jatuh terduduk, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus bangkit membantu anak kampung yang lain menjana pendapatan.

“Saya yakin ujian ini adalah pembakar semangat dan percaya Allah SWT sedang mengatur sesuatu yang lebih baik pada masa depan,” katanya.

Kini, selepas kejayaan produk Yarra, Luqmanul Hakim turut memperkenalkan produk terbaharunya, Pro Right iaitu suplemen kesihatan untuk lelaki.

Dalam masa sama, beliau menyimpan cita-cita untuk membina sebuah kilang pengeluaran produk tulen (OEM) dalam jangka terdekat.

Ia sebagai antara inisiatifnya untuk membantu lebih ramai usahawan dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak muda dan penduduk kampung.

217 dibaca
Berita Harian X