Khamis, 5 September 2019 | 7:43pm
Penaung Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor (JMMNJ) , Datuk Shahul Hamid Abdul Kadir (tengah) diiringi Datuk Abdul Malik Dasthigeer (kanan) menyempurnakan perasmian cawangan terbaharu Malik Streams Corporation Sdn Bhd di Senai, Johor, baru-baru ini. - Foto NSTP/Ihsan Malik Streams

Malik Streams tembusi pasaran runcit Dubai

KUALA LUMPUR: Malik Streams Corporation Sdn Bhd (Malik Streams), syarikat hartanah dan produksi perfileman yang menceburi perniagaan runcit dan borong giat mengukuhkan cabang perniagaan runcitnya dengan meluaskan operasi ke peringkat global menerusi pembukaan cawangan baharu di Dubai, akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer, berkata Dubai dipilih sebagai negara strategik berikutan dasar kerajaan itu yang menggalakkan pelabur asing memacu sektor perniagaan dan runcitnya.

“Dengan kehadiran kami di Dubai, ia dapat meluaskan lagi pembekalan produk ke negara sekitar seperti Arab Saudi, Iran, Oman dan Qatar.

“Malah, pasaran dalam bidang perniagaan borong dan runcit juga agak luas dan kami komited untuk membekalkan banyak lagi produk baru ke pasaran Asia Barat,” katanya selepas merasmikan cawangan runcit terbaharunya di Senai, Johor, baru-baru ini.


Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Menumpukan kepada penjualan barangan yang murah dan berkualiti, ia adalah cawangan ketujuh milik Malik Streams dan cawangan pertamanya di luar Kuala Lumpur.

Abdul Malik berkata, dengan perkembangan pesat syarikat, pihaknya yakin perniagaan borong dan runcit mampu berkembang pantas dengan adanya kelengkapan gudang syarikat yang lebih luas.

“Cawangan di Johor ini menawarkan sebanyak 1,000 produk kegunaan am sedia untuk dijual kepada rangkaian bekalan pasaran runcit dan pemborong di Johor.

"Cawangan ini akan melengkapkan rangkaian perniagaan import dan eksport kami di Johor dan kami yakin dapat membekalkan perkhidmatan produk dan servis yang lebih berkualiti dengan nilai kuantiti yang banyak berikutan penyediaan gudang syarikat yang lebih besar,” katanya.

Kini terdapat 200 pekerja di tujuh cawangan perniagaan runcit dan borong syarikat Malik Streams.

Berita Harian X