Ahad, 15 March 2020 | 1:38pm
PENGURUS Taska Andra, Melur Abd Rahman ketika temuramah di Nilai, Negeri Sembilan. NSTP/Aizuddin Saad
PENGURUS Taska Andra, Melur Abd Rahman ketika temuramah di Nilai, Negeri Sembilan. NSTP/Aizuddin Saad

Buka pusat jagaan kanak-kanak istimewa bagi ubah persepsi masyarakat

KUALA LUMPUR: Mengenali wanita ini secara peribadi, Melor Abd Rahman, memang komited dalam tugas dan tanggungjawab. Walaupun berdepan banyak halangan dan ujian, dia tetap kental mendepani cabaran.

Baginya, setiap episod hidupnya sudah direncanakan. Namun, sebagai manusia, dia tidak harus lelah untuk berusaha, apatah lagi mengalah dengan nasib, keadaan, mahupun kritikan orang lain.

Ketika ramai wanita berbangga dengan tugas dan kerjaya dalam bidang profesional, dia bersemangat memperjuangkan suara ibu yang mempunyai anak istimewa, memberi bimbingan dan mengatur pelbagai program untuk membentuk komuniti positif.

PENGURUS Taska Andra, Melur Abd Rahman. NSTP/Aizuddin Saad
PENGURUS Taska Andra, Melur Abd Rahman. NSTP/Aizuddin Saad

MELUR yang menguruskan keperluan kanak-kanak autism yang berada dibawah jagaan beliau. NSTP/Aizuddin Saad
MELUR yang menguruskan keperluan kanak-kanak autism yang berada dibawah jagaan beliau. NSTP/Aizuddin Saad

Menyingkap sejarah awal dulu, Melor mempunyai seorang anak istimewa yang mempunyai masalah autisme. Sebagai ibu, apabila anaknya disahkan positif autisme, dia mengorbankan kerjaya dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

Dia sedaya upaya mempelajari dan mengikuti pelbagai kelas sehingga keluar negara untuk mempelajari masalah dan cara untuk membimbing anak autisme.

“Sepanjang anak saya membesar, saya mengikuti pelbagai kelas dan mempelajari mengenai autisme. Saya sanggup korbankan masa dan kerjaya kerana anak saya ini.

“Ini kerana sebagai seorang ibu yang mempunyai anak istimewa, agak sukar untuk kita mencari pusat jagaan yang boleh membimbing. Bukan tidak ada, tetapi ianya sangat terhad dan mempunyai kos yang tinggi.

“Hampir beberapa tahun juga sehinggalah saya menjadi terapi dan juga fasilitator kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa,” katanya.

Melor berkata, sehinggalah pada satu hari, beliau didatangi oleh sepasang suami isteri dan memintanya bekerjasama membuka pusat jagaan khas untuk kanak-kanak istimewa.

Pada mulanya, beliau terpaksa menolak kerana ingin menumpukan perhatian kepada anaknya, tetapi disebabkan memikirkan permasalahan yang pernah dihadapinya dulu dalam mencari pusat jagaan kanak-kanak istimewa, dan tidak mahu perkara sama berulang kepada ibu bapa lain, dia akhirnya bersetuju.

Bermula dari situ, Melor meneruskan pusat jagaan yang diberi nama Andra. Pada mulanya hanya satu di Nilai, Negeri Sembilan sebelum dibuka empat lagi cawangan di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

“Saya pernah berhenti kerja, terpaksa korbankan semuanya untuk anak saya. Bila diberi peluang sebegini, agak sukar untuk saya menolak kerana saya tahu bagaimana pengalaman sebagai ibu bapa dalam mencari pusat jagaan sebegini.

“Tambahan pula sepanjang menjaga anak saya, pelbagai ilmu saya pelajari mengenai kanak-kanak istimewa. Ada hikmah disebalik semua ini, saya dapat belajar satu ilmu baru yang boleh dikongsi dengan semua ibu bapa yang lain,” katanya.

Apa yang menariknya, Melor berkata, pusat jagaan Andra tidak mengasingkan kanak-kanak istimewa dengan kanak-kanak normal, sebaliknya dicampurkan bersama.

Beliau berkata, cabaran terbesar adalah dalam mengubah persepsi masyarakat terutamanya dikalangan ibu bapa kanak-kanak normal.

Seringkali ibu bapa mengadu dan tidak suka pusat jagaan bercampur sebegini, kerana bagi mereka, khuatir anak mereka tidak dapat mempelajari perkara yang seharusnya.

“Persepsi masih kuat dan untuk menukarnya ia memerlukan masa. Banyak ibu bapa bila tahu pusat jagaan ini bercampur, mereka dah mula berfikir bukan-bukan.

“Pendekatan yang kami jalankan ini bagi membolehkan kanak-kanak istimewa berada seiring dengan kanak-kanak normal. Belajar sesama mereka kerana hidup ini adalah satu pembelajaran.

“Pernah juga dimarahi dan sebagainya, tetapi saya merasakan semua ini adalah dugaan dan tekad untuk mengubah persepsi ini,” katanya.

Berita Harian X