Rabu, 1 April 2020 | 1:13pm
Menara MARA
Menara MARA

MARA tawar latihan dalam talian untuk PKS, usahawan semasa PKP

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan beralih kepada platform dalam talian bagi menjalankan program latihan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing.

Timbalan Ketua Pengarah MARA (Keusahawanan), Datuk Zulfikri Osman, berkata latihan secara dalam talian yang bermula minggu ini, akan memberi pengetahuan secukupnya terutama dari segi strategi perniagaan dan pemasaran efektif bagi membanti mereka meringankan beban aliran tunai selepas terjejas akibat COVID-19.

“Dalam tempoh PKP, kami menggunakan platform alternatif menerusi media sosial untuk menjangkau selain terus menyokong mereka dan ini adalah percuma.

“(Namun) kami akan turut melakukan penjadualan semula dan memulakan program latihan sebenar sebaik PKP berakhir dan mengenakan bayaran kecil sebagai komitmen untuk menjamin kerusi mereka dalam kursus itu,” katanya kepada Bernama.

Zulfikri berkata, MARA turut memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta bagi 300 program latihan sepanjang tahun ini yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 7,000 PKS dan usahawan.

Minggu lalu, MARA mengumumkan untuk memberi kelongaran dari segi penangguhan bayaran pinjaman perniagaan selama enam bulan serta diskaun 30 peratus membabitkan sewaan premis perniagaannya.

Mengulas lanjut, Zulfikri berkata pembiayaan, sewa ruang perniagaan serta latihan akan menjadi teras membantu PKS.

Pada masa sama, agensi itu akan bekerjasama dengan kalangan pemain industri yang kukuh untuk merangka rancangan strategik membantu PKS ini.

Setakat ini, terdapat seramai 65,000 peminjam aktif MARA selain 6,000 penyewa premis dan 22,000 usahawan yang telah menjalani latihan MARA.

Bagaimanapun, tempoh PKP pada 18 Mac hingga 14 April turut menjejaskan aktiviti jualan dan pendapatan mereka dalam jangka terdekat ini.

Menurutnya, sektor perkhidmatan yang paling terjejas adalah terutama kluster perniagaan seperti pelancongan, fesyen dan gaya hidup yang menyaksikan kebanyakan PKS bergantung kepada permintaan asing dan tempatan.

“Oleh itu, PKS perlu mencari jalan untuk memantapkan perniagaan masing-masing dan harus kreatif untuk menjadikan keadaan PKP itu sebagai peluang perniagaan,” katanya.

Zulfikri juga menganggarkan secara purata, PKS akan terdedah kepada penyusutan jualan sebanyak 50 peratus dan peningkatan kos bahan mentah sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Malah, perniagaan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk kembali stabil susulan keadaan yang tidak dijangkakan ini.

Mengulas corak aliran pembelian, beliau berkata penurunan itu lebih ketara dalam industri peruncitan kerana orang ramai memilih untuk berjimat berbanding berbelanja.

“Corak pembelian pengguna akan berubah dengan mengutamakan barangan perlu berbanding mewah,” katanya.

Zulfikri turut memberi jaminan bahawa MARA akan terus memantau keadaan dan melakukan usaha yang kukuh bagi membantu kalangan PKS dan usahawan.

“Keadaan sukar yang di luar jangkaan ini memerlukan usaha bersama daripada semua pihak berkepentingan MARA untuk memastikan wawasan dan misinya sebagai agensi sosioekonomi berjalan lancar dan tiada siapa pun yang ketinggalan,” katanya.

-BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X