Selasa, 14 April 2020 | 5:30pm
Asyraf bersama isteri, Tya Arifin sentiasa berusaha membangunkan perniagaan mereka.
Asyraf bersama isteri, Tya Arifin sentiasa berusaha membangunkan perniagaan mereka.

Bukan guna 'kabel' untuk berjaya

KUALA LUMPUR: Lagi lagi Datuk K? Ala senanglah bisnes maju sebab kabel bapa sendiri yang power? Datang daripada keluarga senang, nak apa petik jari mesti dapat?

Dan macam macam lagi pandangan sinis yang diterima Asyraf Khalid apabila mula meneroka dunia niaga.

Anak ketiga daripada lima beradik kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K) itu mengakui ada kalanya skeptikal itu pantas menyentak diri.

Siapa tak bengang segala usaha titik peluh dan kerja keras selama bertahun tahun termasuk mengukuhkan perniagaan jamu Mutyara Beauty sejak dua tahun lalu bersama isteri, Tya Arifin dilihat mendapat lesen serta laluan mudah hanya kerana pengaruh bapa dan ibu tirinya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Meraikan ulang tahun kedua perniagaan Jamu Mutyara diusahakan bersama isteri pada 20 April ini, Asyraf terpanggil berkongsi perjalanannya membina empayar perniagaan sendiri.

Selain Mutyara, Asyraf juga antara ‘mastermind’ perniagaan jenama Kilafit.

“Hati siapa yang tak terguris kalau balik balik pandangan sama yang dilemparkan orang luar serta pemerhati dunia niaga. Rasa kadang kadang macam tak berguna, kerana mereka fikir saya kecapi semua ini dengan cara mudah.

“Jujur saya tak boleh menafikan rasa bengang, jelak dan amarah itu pernah bersarang sampai naik geram. Biasalah yang orang nampak hanya keindahan, di sebalik semua itu tak ada siapa yang tahu.

PERNAH gagal dalam perniagaan bukan halangan untuk terus berjaya.
PERNAH gagal dalam perniagaan bukan halangan untuk terus berjaya.

“Cuma tak adil jika mereka terus berandaian begitu dan begini. Tapi kalau terus larut dengan rasa negatif itu pun saya tak akan ke mana. Saya lawan segala rasa,” katanya.

Asyraf berkata, dia mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tanpa langsung menggunakan pengaruh ayahnya.

“Saya bertatih sendiri dari bawah. Ikutkan sejak usia tujuh tahun lagi saya sudah jual pen di sekolah dan macam macam lagilah lubuk perniagaan yang dicuba.

“Saya serius mahu bergelar ahli perniagaan sejak usia 22 tahun hinggalah sekarang. Saya dan pasukan kerja keras untuk meraih apa yang kami kecapi hari ini.

“Isteri antara insan penting yang berada dalam pasukan kerja itu. Saya sedar dalam dunia perniagaan ini, tidak semua yang kita buat akan beroleh kejayaan. Ada juga perniagaan yang saya buat berakhir begitu saja. Namun itu bukan penamat segala galanya,” katanya.

Asyraf berkata, pernah satu tahap dia dan isteri mencatu makanan kerana kekangan duit. Ketika itu dia hanya mempunyai RM10 dan perlu memilih makanan yang sesuai untuk mereka sekeluarga.

“Sebenarnya ada ramai usahawan berjaya yang saya lihat boleh berjaya tanpa bergantung kepada sesiapa. Malah mereka sebenarnya bermula dari ‘kosong’,” katanya.

Info

* Laman web www.mutyara.com

* Instagram @mutyarabeauty

Berita Harian X