Khamis, 30 April 2020 | 3:27pm
Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Terengganu, Dr Tengku Khairi A Rahman. - Foto NSTP
Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Terengganu, Dr Tengku Khairi A Rahman. - Foto NSTP

PKP: Usahawan mulai positif, ubah strategi perniagaan

KUALA TERENGGANU: Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini semakin positif dan tidak lagi buntu dalam berdepan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Terengganu, Dr Tengku Khairi A Rahman, berkata keadaan itu dapat dilihat selepas melalui beberapa fasa PKP, kebanyakan usahawan sudah mula mengatur strategi baharu bagi memulihkan perniagaan masing-masing.

"Pada awal arahan PKP ramai usahawan panik dan gagal mengawal urusan perniagaan masing-masing. Namun Alhamdulillah, selepas fasa PKP pertama, mereka mulai kembali memberi tumpuan dengan menyesuaikan operasi perniagaan masing-masing dengan keadaan semasa.

"Kelaziman baharu mulai tercipta pada operasi dan urusan harian perniagaan dan ditambah pula dengan keprihatinan agensi keusahawanan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan (Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga) TEKUN yang mula memberi khidmat bantuan nasihat dan latihan secara dalam talian," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Tengku Khairi berkata dalam tempoh mencabar ini, usahawan PKS yang masih lagi mengalami masalah dan tiada arah tuju disaran supaya lebih fokus dan mengawal aliran tunai bagi mengelak perniagaan terhenti dan mampu keluar dari zon krisis.

"Langkah kerajaan menerusi Pakej Prihatin PKS yang membenarkan enam bulan penangguhan bayaran balik pinjaman secara tidak langsung mampu mengurangkan tekanan kepada aliran tunai semasa. Dalam masa yang sama juga usahawan PKS harus menilai perbelanjaan yang tidak begitu penting dan menjejaskan perniagaan.

"Sikap tunggu dan lihat harus dihapuskan. PKP ini juga telah memberi peluang kepada usahawan untuk menilai semula model perniagaan masing-masing terutama dalam menyesuaikan operasi secara dalam talian," katanya.

Selain itu beliau juga menyarankan usahawan terus berhubung dan memberi maklumat kepada pelanggan tetap mengenai perubahan cara dan waktu operasi supaya mereka tidak beralih kepada pesaing lain.

Menurutnya, dalam tempoh PKP orang ramai biasanya melayari pelbagai saluran media sosial dan ia adalah peluang keemasan bagi PKS untuk membuat pemasaran.

Selain itu, katanya, usahawan sendiri digalakkan untuk menambah kemahiran yang ada dengan menyertai kursus secara dalam talian sama ada secara percuma mahupun berbayar. – BERNAMA

Berita Harian X