Khamis, 7 Mei 2020 | 8:08pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

PKS perlu radikal tingkat teknologi digital - Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digesa supaya lebih radikal untuk meningkatkan kemahiran teknologi digital agar seiring dengan negara maju yang lain.

Ini dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed setelah mendapati ada PKS yang belum memahami teknologi ini sekali gus gagal memanfaatkannya.

"Ada PKS yang arif, cekap dan bersedia mengenai e-dagang tetapi masih ada yang belum nampak relevannya. Justeru, pendedahan akan ditingkatkan." katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam rancangan Malaysia Hari Ini membincangkan tentang 'Norma Baharu Asas Pemulihan Covid-19" di siaran TV3.

"Inilah masanya untuk kita mengubah secara radikal terhadap gaya hidup, kaedah pelaksanaan dan strategi sejajar dunia digital terkini," katanya.

Sebaliknya, Mustapa berkata PKS yang terdedah dengan teknologi digital semakin rancak mengembangkan operasi perniagaan dan mengoptimumkan produktiviti.

Mengambil contoh, bazar dalam talian, 'Agrobazaar Online' kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan jualan memberangsangkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) giat mempromosi teknologi digital termasuk melalui kursus dalam talian bagi meningkatkan operasi, pengeluaran dan daya saing PKS, katanya.

Mengenai kebimbangan pelbagai pihak apabila hampir semua sektor ekonomi dibuka mulai 4 Mei, Mustapa berkata keputusan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuat dengan teliti.

"Ada yang menyatakan ia terlalu awal, tetapi itu pandangan dan perbahasan begini biasa berlaku diperingkat awal. Tetapi bagi kerajaan, kita sudah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan.

"Sudah sampai masa untuk kita lihat kedudukan ekonomi kerana bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk sementara sahaja dan apa yang penting syarikat perlu dibuka kembali," jelasnya. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X