Rabu, 18 Oktober 2017 | 8:55pm
PRESIDEN Zimbabwe, Robert Mugabe dan isteri, Dr Grace Mugabe. - Foto AFP

Isu cincin, isteri Mugabe saman ahli perniagaan Lubnan

HARARE: Isteri Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe menyaman seorang ahli perniagaan Lubnan kerana gagal menyerahkan cincin berlian bernilai AS$1.35 juta (RM5.7 juta) yang ditempah sempena ulang tahun perkahwinannya.

Akhbar The Herald melaporkan, wanita pertama, Dr Grace Mugabe menyaman ahli perniagaan yang kini diburu, Jamal Joseph Ahmed sebanyak AS$1.23 juta (RM5.19 juta) berhubung perjanjian pembelian cincin berlian yang tidak menjadi.

"Ahmed gagal menyerahkan cincin itu, sekali gus melanggar perjanjian, dan mencetuskan pertikaian perundangan," kata akhbar.

Pada 2015, Grace membuat pesanan cincin berlian 100 karat bernilai AS$1.35 juta sempena ulang tahun perkahwinannya dengan pemimpin berusia 93 tahun itu.

"Plaintif mahu membeli cincin berlian unik untuk sambutan ulang tahun perkahwinannya.

"Sebaliknya defendan menawarkan cincin berlian bernilai AS$30,000 (RM126,705) menyebabkan plaintif enggan menerimanya," kata dokumen mahkamah dilihat The Herald.

Ia menyebabkan Grace menuntut bayaran ganti rugi namun Ahmed hanya memulangkan AS$120,000 (RM506,820).

Menerusi dokumen yang difailkan di mahkamah tahun lalu, Ahmed berkata, dia menawarkan bayaran balik secara ansuran dan sudah melunaskan kira-kira AS$150,000 (RM633,525).

Januari lalu, Ahmed, berstatus penduduk tetap Zimbabwe namun tidak lagi tinggal di negara selatan Afrika itu, memohon perintah mahkamah bagi menghentikan percubaan Grace merampas harta bendanya berikutan pertikaian cincin berlian terbabit, namun dinafikan wanita pertama berkenaan.

Selain itu, Ahmed juga mendakwa menerima ugutan daripada pegawai dari agensi perisikan Zimbabwe serta anak lelaki hasil perkahwinan pertama Grace, Russel Goreraza. - AFP

Berita Harian X