Khamis, 16 November 2017 | 7:55am

Pesawat terhempas, 11 maut

NAIROBI: Seramai 11 orang disahkan maut selepas pesawat milik sebuah syarikat safari terhempas di utara Tanzania, menurut pemilik kapal terbang itu, Coastal Aviation.

"Kami amat sedih dengan laporan 11 terbunuh selepas nahas kapal terbang pagi ini di utara Tanzania," kata syarikat berkenaan dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya.

Coastal Aviation, yang mengendalikan penerbangan safari di Afrika Timur, berkata pesawat Cessna Caravan, membawa juruterbang dan 10 penumpang itu terhempas di kawasan kawah Empakaai.

Pengarah Urusan Coastal Aviatioan, Julian Edmunds, berkata nama penumpang dan kru dirahsiakan sebelum dimaklumkan kepada keluarga masing-masing.

"Memang kami terkejut. Kejadian ini sangat dahsyat. Saya kerap menerbangkan pesawat kami.

"Saya amat mempercayai kru dan peralatan kami. Bagi pihak seluruh pasukan di Coastal, kami akan melakukan apa terdaya untuk membantu siasatan," katanya.

Syarikat itu berkata, nahas berlaku jam 11 pagi waktu tempatan manakala akses ke kawasan terpencil itu sukar.

Pegawai di Taman Negara Serengeti yang enggan dikenali berkata, semua mayat mangsa sudah ditemui kecuali juruterbang. - AFP

Berita Harian X