Rabu, 19 Disember 2018 | 10:28pm
Grace Mugabe. - Foto EPA

Afrika Selatan keluar waran tangkap Grace Mugabe

JOHANNESBURG: Pihak berkuasa Afrika Selatan hari ini, mengumumkan bahawa waran tangkap sudah dikeluarkan terhadap isteri bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, selepas beliau didakwa menyerang seorang model di sini, pada 2017.

“Polis menjalankan siasatan ke atas kejadian itu dan kami mengemukakan permohonan kepada mahkamah dan mereka bersetuju mengeluarkan waran tangkap kerana menyerang Gabriella Engels,” kata jurucakap polis, Vishnu Naidoo kepada AFP.

Mahkamah Majistret Randburg di wilayah Gauteng mengeluarkan waran tangkap itu pada 13 Disember lalu, dan mendakwa Grace Mugabe melakukan serangan hingga mengakibatkan kecederaan pada bahagian badan.

“Kami menjalankan siasatan mengikut proses yang ditetapkan oleh Polis Antarabangsa (INTERPOL), jadi kami memohon bantuan untuk menahan beliau,” kata Naidoo.

Grace, 53, dilaporkan menyerang Engels menggunakan kabel sambungan elektrik di sebuah hotel mewah di kawasan perniagaan di Sandton, iaitu hotel penginapan dua anak lelakinya.

Insiden menyebabkan model berkenaan mengalami luka pada bahagian dahi dan belakang kepalanya.

Namun, ketika kejadian, Mugabe dibenarkan meninggalkan Afrika Selatan, kerana memiliki kekebalan diplomatik. - AFP

568 dibaca
Berita Harian X