Sabtu, 9 March 2019 | 12:30am

23 maut, 110,000 terjejas banjir di Malawi

BLANTYRE: Hujan lebat dan banjir di selatan Malawi mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang sementara 11 mangsa lain hilang, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu, semalam.

Beberapa pasukan mencari dan menyelamat sudah digerakkan dan lebih 22,000 isi rumah atau 110,000 orang terjejas akibat banjir, kata Menteri Dalam Negeri, Nicholas Dausi.

Stesen janakuasa elektrik dan bekalan air turut terjejas di beberapa kawasan. Kira-kira 270 daripada 320 megawatt kapasiti penjanaan tenaga hidroelekrik Malawi tidak berfungsi, menurut syarikat elektrik EGENCO.

Katanya, syarikat itu sedang berusaha memulihkan bekalan dan membersihkan sisa banjir di stesen janakuasa.

Malawi menjana tenaga hidroelektrik di sepanjang Sungai Shire yang mengalir keluar dari Tasik Malawi. Negara itu amat bergantung kepada tajaan penderma asing.

Ia mengimport bekalan minyak dan komoditi penting lain. - Reuters

Berita Harian X