Sabtu, 6 April 2019 | 11:08am

Mahkamah Rayuan Maghribi sahkan hukuman 42 pemberontak

CASABLANCA, Maghribi: Mahkamah Rayuan Maghribi mengesahkan hukuman ke atas beberapa pemimpin gerakan pemberontak Hirak yang menimbulkan kekacauan di negara ini pada 2016 dan 2017.

Mahkamah di barat Casablanca mengesahkan hukuman penjara membabitkan 42 aktivis yang menjalani hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Keputusan mahkamah itu disambut dengan teriakan ‘hidup rakyat’ dan ‘negara rasuah’ oleh keluarga aktivis terbabit.

Bantahan gerakan terkemuka Al-Hirak al-Shaabi bermula di wilayah utara negara itu pada Oktober 2016.

Keamanan wilayah itu mula tergugat susulan kematian seorang nelayan hingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang menuntut pembangunan di wilayah yang terpinggir hingga timbul masalah pengangguran serta rasuah yang berleluasa.

Pihak berkuasa menyalahkan kumpulan aktivis yang terdahulu menjalani hukuman pada Jun tahun lalu, yang bertujuan untuk melakukan perpecahan.

Ketua gerakan itu, Nasser Zefzadi dan tiga yang lain dihukum penjara sehingga 20 tahun kerana mengugut pegawai keselamatan. Pesalah lain disahkan menjalani hukuman daripada satu hingga 15 tahun selepas rayuan. - AFP

Berita Harian X