Selasa, 28 Mei 2019 | 9:07am
Lebih 830,000 rakyat Republik Demokratik Congo akan menerima suntikan vaksin taun tidak lama lagi. Foto hiasan
Lebih 830,000 rakyat Republik Demokratik Congo akan menerima suntikan vaksin taun tidak lama lagi. Foto hiasan

830,000 rakyat DR Congo diberi suntikan taun: WHO

KINSHASA: Lebih 830,00 penduduk di wilayah Kivu Utara, Republik Demokratik Congo (Congo) akan diberikan suntikan vaksin taun, yang sudah meragut nyawa lebih 240 mangsa tahun ini.

Kempen itu adalah hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Congo, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan beberapa rakan kongsinya, dan akan dibiayai oleh Gavi, the Vaccine Alliance (Gavi).

“Secara keseluruhan seramai 835,183 penduduk di kawasan Binza, Goma, Kayina, Karisimbi, Kibirizi, Kirotshe dan Rutshuru akan diberikan suntikan vaksin pada 1 Jun ini.

“Lebih 1,000 kes taun dilaporkan berlaku di negara ini, sejak Januari lalu, membabitkan lebih 240 kematian.

“Selain itu, lebih 80,000 kes dipercayai demam campak turut dilaporkan dengan lebih 1,400 kematian dicatatkan,” kata WHO dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Gavi, Seth Berkley, berkata Congo kini sedang berdepan dengan dua gabungan epidemik dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Ketika wabak Ebola terus menimbulkan kesengsaraan penduduk di bahagian timur negara itu, demam campak dan taun pula meragut nyawa ribuan mangsa di seluruh negara.

“Keadaan itu mendorong kami untuk menyalurkan bantuan menerusi kempen vaksinasi taun ini,” kata Berkley. - AFP

Berita Harian X