Rabu, 31 Julai 2019 | 9:16am
Pelajar mengadakan demonstrasi membantah pembunuhan enam penunjuk perasaan termasuk lima pelajar pada satu perhimpunan di pusat bandar. - Foto EPA

Sudan arah sekolah ditutup susulan bantahan pelajar

KHARTOUM: Pihak berkuasa Sudan mengarahkan penutupan sekolah di seluruh negara itu selepas sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi membantah pembunuhan enam penunjuk perasaan termasuk lima pelajar pada satu perhimpunan di pusat bandar.

“Membunuh pelajar adalah membunuh negara,” laung ratusan pelajar yang memakai pakaian seragam dan mengibarkan bendera Sudan, ketika mengadakan bantahan di jalan raya di Khartoum menentang pembunuhan di Al-Obeid kelmarin.

Tunjuk perasaan juga diadakan pelajar di beberapa bahagian lain di ibu kota dan bandar raya lain.

Lima pelajar ditembak mati dan lebih 60 lagi cedera, sebahagiannya akibat tembakan penembak curi ketika berhimpun di Al-Obeid menentang kekurangan bekalan minyak dan roti, kata pergerakan bantahan dan penduduk.

Lewat semalam, jawatankuasa doktor yang rapat dengan pergerakan bantahan berkata, penunjuk perasaan keenam meninggal dunia akibat kecederaan selepas ditembak di kepala.

Mereka tidak memberitahu sama ada mangsa juga seorang pelajar.

Penunjuk perasaan menuduh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang digeruni menembak mati semua remaja berkenaan.

Semalam, pihak berkuasa mengarahkan semua sekolah di seluruh negara menggantung kelas.

“Arahan sudah diberikan kepada gabenor semua negeri untuk menutup tadika, sekolah rendah dan tinggi bermula hari ini sehingga notis selanjutnya,” lapor agensi berita SUNA, susulan arahan dikeluarkan majlis pemerintahan tentera. — AFP

Berita Harian X