Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:32pm
SEMPADAN antara Rwanda dan Congo ditutup selepas kes ketiga virus maut Ebola dikesan di bandar Goma. - Foto Reuters

Sempadan Rwanda - Congo ditutup akibat kes ketiga Ebola

GOMA (CONGO) : Rwanda menutup sempadan bersama Congo selepas kes ketiga virus maut Ebola dikesan di bandar Goma, kata pejabat presiden Congo hari ini.

Dalam satu kenyataan, pejabat berkenaan memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat bersama pihak berkuasa Rwanda dan membabitkan rakyat kedua-dua negara yang perlu menyeberangi sempadan untuk urusan seharian.

Goma, bandar dihuni dua juta penduduk dan hab pengangkutan utama berkongsi sempadan dengan bandar Gisenyi di Rwanda yang memiliki 85,000 penduduk.

Sempadan itu dianggap sibuk dengan rata-rata penduduk saling memiliki pekerjaan di kedua-dua bandar manakala sebilangan besar lagi turut memiliki kediaman atau menyekolahkan anak mereka di bandar berjiran.

“Berdasarkan keputusan dibuat bersama dengan pihak berkuasa Rwanda, rakyat Rwanda tidak boleh pergi ke Goma dan rakyat Congo pula dilarang meninggalkan Gisenyi serta tidak boleh pulang ke rumah.

“Keputusan ini memberi kesan negatif kepada rakyat Congo dan golongan ekspatriat yang menetap di Gisenyi tetapi bekerja di Goma,” kata kenyataan itu.

Pengumuman terbabit dibuat beberapa jam selepas kes ketiga Ebola direkodkan di Goma.

Sejak 1 Ogos 2018, 1,803 nyawa terkorban dalam penularan kedua terburuk wabak Ebola yang pernah direkodkan.

Dua daripada tiga kes di Goma berakhir dengan kematian, sekali gus membuatkan pihak berkuasa bertungkus lumus mengesan individu yang pernah berhubung dengan pesakit. - AFP

83 dibaca
Berita Harian X